Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asia terus jadi tumpuan permintaan gas global

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Keselamatan tenaga semakin menjadi kebimbangan, dengan gas semakin banyak digunakan bagi memenuhi keperluan tenaga.

    Agensi Tenaga Antarabangsa meramalkan bahawa Asia akan terus menjadi tumpuan peningkatan permintaan gas global untuk menjana aktiviti-aktiviti perindustrian dan ekonomi serta pertumbuhan penduduk.

    Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein mengetengahkan perkara ini semasa menyampaikan ucapan pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak Gas Asia ke-7 (GAS 2019) yang diadakan di Marina Bay Sands, Singapura, kelmarin.

    Dalam ucapannya bertajuk ‘Peranan Gas dalam Keselamatan Tenaga dan Pembangunan Ekonomi Asia’ itu, Yang Berhormat Dato menambah bahawa peralihan ke arah gas sebagai pilihan sumber tenaga yang mampu milik, boleh dipercayai dan boleh diakses di rantau ini melengkapi usaha-usaha antarabangsa untuk mengurangkan pengeluaran karbon.

    Tambah beliau, sementara peralihan tenaga kini ditandai dengan peningkatan dalam tenaga alternatif dan boleh diperbaharui, sumber-sumber tenaga konvensional seperti Gas Asli Cecair (LNG) diramal terus mempunyai kepentingan kerana masa yang lama dan pelaburan besar diperlukan untuk menerapkan dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, GAS 2019 diadakan sebagai acara penting Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2019, acara yang memfokuskan ke atas pembangunan pasaran gas Asia.

    Semasa berada di Singapura, Yang Berhormat Dato juga telah mengadakan perjumpaan dua hala bersama Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Kedua bagi Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura di Kementerian Tenaga Manusia, Puan Yang Terutama Josephine Teo, hari ini.

    Kenyataan menyatakan, semasa perjumpaan berkenaan, kedua-dua belah pihak telah membincangkan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan serantau dan antarabangsa serta bidang-bidang berkepentingan bersama.

    Kedua-dua menteri juga meneroka peluang kerjasama antara Brunei dan Singapura terutamanya yang berkaitan dengan tenaga manusia seperti pembangunan tenaga kerja, penghasilan kerja dan pekerjaan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny ketika menyampaikan ucapannya pada Sidang Kemuncak Gas Asia ke-7. – Gambar oleh MEMI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny ketika mengadakan perjumpaan dua hala bersama PYT Josephine Teo. – Gambar oleh MEMI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda