Friday, December 20, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asimilasi batik sempena TBC

    KUALA LUMPUR – Motif batik biasanya dikaitkan dengan pakaian tradisional Melayu seperti baju kurung dan kebaya, namun sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), seorang pereka fesyen Malaysia menerapkan elemen itu dalam perekaan busana warisan Cina dengan potongan lebih moden dan kontemporari.

    Jeffrey Goh, pemilik koleksi ‘inisaya’, menjelaskan antara rekaannya termasuk pakaian kasual dan gaun berkolar Mandarin, dihasilkan daripada fabrik batik yang menampilkan seni berinspirasikan budaya Cina yang ceria dan berwarna-warni.

    “Pada musim perayaan, saya memasukkan elemen-elemen budaya dalam koleksi, menawarkan variasi yang memenuhi pelbagai cita rasa.

    “Sebagai contoh, pada TBC ini, saya memperkenalkan kaftan cheongsam dipadankan dengan skirt pario, menampilkan batik oriental yang sesuai dipakai oleh orang Islam,” kata pereka berusia 27 tahun itu kepada Bernama, dan menambah setiap rekaan diilhamkan oleh gabungan budaya Malaysia.

    Pereka kelahiran Selangor itu berkata trend positif pemakaian batik bukan saja berlaku dalam masyarakat Cina, tetapi turut mendapat sambutan masyarakat di seluruh Malaysia.

    Model memperagakan pakaian bermotif batik dengan ciri kolar Mandarin. – Bernama
    Jeffrey Goh, pemilik koleksi ‘inisaya’. – GAMBAR OLEH JEFFERY GOH

    “Dalam dunia yang sentiasa berubah, saya yakin batik harus berkembang bersama kita. TBC ini, saya perhatikan trend menggalakkan dalam kalangan masyarakat Cina membeli cheongsam batik. Sungguh gembira melihat perkembangan ini, ia melambangkan identiti Malaysia sambil mengekalkan unsur budaya Cina,” katanya.

    Goh melahirkan rasa terima kasih terhadap sikap terbuka dan toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia yang sekali gus memupuk semangat pembelajaran dan penerimaan budaya.

    Sementara itu, Goh yang juga siswazah fesyen dari Raffles Design Institute, Singapura itu mendedahkan bahawa pihaknya telah melepasi sasaran dengan lebih 800 tempahan diterima dalam masa tiga bulan, iaitu rekod baharu bagi jenama mereka selain menunjukkan penghargaan terhadap rekaan mereka.

    Ditubuhkan pada 2021, inisaya turut bekerjasama dengan pereka batik muda berbakat dari Terengganu, membawa kepada kerjasama kreatif yang menambah dimensi unik kepada jenama berkenaan.

    “Dalam perbincangan, kita mengiktiraf peluang inovasi dalam batik Malaysia. Bermula dari motif tradisional bunga, kita memutuskan untuk memasukkan elemen yang diilhamkan dari kuih Malaysia, satu konsep yang masih belum diteroka di pasaran,” katanya.

    Goh berkata koleksi sulung mereka iaitu skirt dan kemeja bermotifkan lima kuih kapit serta lima onde-onde telah dihasilkan dengan stok terhad, dan konsep sama diperkenalkan untuk sambutan TBC dengan rekaan tiga kuih baharu iaitu Tart Nanas, Kuih Lapis dan Pulut Tai Tai, menyaksikan jualan pantas.

    Beliau berkata keseluruhan koleksi merangkumi 153 meter kain bermotif kuih, adalah bukti perpaduan tradisi dan inovasi, menawarkan batik lukisan tangan serta batik digital, batik cap dan lain-lain.

    Koleksi untuk Hari Raya akan dilancarkan pada Mac ini. Sementara itu, Low Heu Yee yang merupakan tukang jahit di Gombak telah menjadikan produk kraf batik sebagai sumber pendapatan utamanya melalui jenama The Backstitch Studio selama lebih setahun.

    Antara hasil kraf batik yang dihasilkan oleh wanita berusia 28 tahun itu seperti skirt, kardigan, bandana, korset, scrunchies, gaun slip, pario, beg dan penggantung kunci.

    “Sejak kecil lagi, impian saya adalah untuk mencari nafkah dengan produk sendiri. Saya memilih menjahit kerana saya suka produk buatan tangan yang menonjolkan kreativiti. Batik adalah pilihan saya kerana motifnya yang eksklusif dan fabrik selesa, sesuai untuk kegunaan harian,” katanya.

    Menurut Low, produknya dijual pada harga RM5 hingga RM200, bergantung pada jenis, saiz dan rekaan. Produk paling laris adalah set kardigan dan pario, sesuai untuk dipakai sepanjang tahun, terutama semasa acara berkonsepkan Malaysia.

    Beliau juga telah menerima banyak pesanan untuk cheongsam menjelang Tahun Baharu Cina.

    Low berhasrat memiliki kedai fizikal di Kuala Lumpur suatu hari nanti, dengan matlamat untuk memodenkan batik, warisan tradisional dengan konsep kontemporari sambil mengekalkan budaya Malaysia pada masa ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda