Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Asingkan berus jenama Okazaki

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Penjualan berus jenama Okazaki di premis perniagaan di negara ini telah diarahkan untuk diasingkan kerana didapati diperbuat daripada bulu khinzir.

    Menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES), arahan berkenaan adalah hasil pemeriksaan bagi berus berkenaan berikutan aduan orang awam dan berdasarkan maklumat yang didapati pada bungkusan produk tersebut, berus tersebut didapati diperbuat daripada bulu binatang iaitu bulu khinzir.

    Oleh itu, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, JHES telah pun mengarahkan pemilik premis untuk mengasingkan semua berus tersebut dengan serta merta daripada penjualan kepada orang awam. Di samping itu, pengguna beragama Islam di negara ini dinasihatkan untuk tidak membeli dan menggunakan berus tersebut.

    KHEU itu juga mengingatkan para pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk dan barang gunaan di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk dan barang gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk yang halal dan suci tidak bercampur dengan yang tidak halal. Ini demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini daripada terjebak mengambil dan menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal.

    Di samping itu, KHEU mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas maklumat berhubung perkara tersebut dan bagi orang ramai yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke JHES melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.

    Berus yang didapati daripada bulu khinzir. – Gambar KHEU
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...