Wednesday, March 26, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asingkan segera dua produk makanan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES) ingin memaklumkan bahawa aduan telah diterima oleh Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) mengenai produk makanan iaitu produk Layered Treat Without The Cheat perisa matcha jenama MyProtein.

    Hasil pemeriksaan jabatan tersebut mendapati bahawa produk berkenaan telah disahkan mengandungi kolagen daripada haiwan lembu yang mana sumber dan status halalnya adalah diragui, memandangkan produk tersebut tiada pengiktirafan halal daripada badan pensijilan halal yang diiktiraf.

    Sementara itu, BKMH turut menerima satu lagi aduan mengenai produk makanan iaitu biskut jenama Tim Tam keluaran Arnott’s Biscuit Limited, Australia.

    Hasil pemeriksaan jabatan tersebut mendapati bahawa produk berkenaan di kilang dan diproses menggunakan peralatan yang sama dengan produk yang mengandungi daging tidak halal.

    Sehubungan itu, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, JHES memaklumkan kepada pemilik perniagaan yang menjual produk-produk jenama MyProtein keluaran Thehutgroup, THG Nutrition Limited United Kingdom dan produk-produk makanan keluaran Arnott’s Biscuit Limited, Australia di premis-premis mereka untuk segera diasingkan dan dijual di ruangan yang tidak terdedah kepada orang awam.

    KHEU juga ingin mengingatkan kepada pemilik, pengurus pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk dan barang gunaan di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk dan barang gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk yang halal dan suci tidak bercampur dengan yang tidak halal.

    Untuk sebarang aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke JHES melalui BKMH.

    Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.

    Produk biskut jenama Tim Tam keluaran Arnott’s Biscuit Limited, Australia. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Layered Treat Without The Cheat perisa matcha jenama MyProtein. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda