Monday, December 2, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Askar AS masih ditahan di Korea Utara

    SEOUL, 20 JULAI – Korea Utara tidak bertindak balas terhadap percubaan Amerika Syarikat (AS) untuk membincangkan askar Amerika yang melarikan diri melintasi sempadan dikawal ketat, kata pegawai di Washington, sambil menekankan bahawa prospek askar untuk dibebaskan segera adalah tidak jelas pada masa ketegangan yang tinggi dan saluran komunikasi yang tidak aktif.

    Prebet Travis King, yang sepatutnya dalam perjalanan ke Fort Bliss, Texas, selepas menamatkan hukuman penjara di Korea Selatan kerana serangan, berlari ke Korea Utara ketika dalam lawatan awam ke kampung sempadan Panmunjom pada Selasa.

    Dia adalah orang Amerika pertama yang ditahan di Korea Utara dalam hampir lima tahun.

    “Semalam Pentagon menghubungi rakan sejawat dalam Tentera Rakyat Korea (Utara). Pemahaman saya ialah komunikasi itu masih belum dijawab,” Matthew Miller, jurucakap Jabatan Negara AS, memberitahu wartawan di Washington semalam.

    Motif King menyeberangi sempadan masih tidak diketahui. Seorang saksi dalam lawatan yang sama berkata, dia pada mulanya menganggap aksinya merupakan lagak ngeri sehingga dia mendengar seorang tentera Amerika menjerit meminta orang lain cuba menghalangnya.

    Pada Isnin, King telah diiringi ke lapangan terbang – tetapi meninggalkan tempat itu sebelum menaiki pesawatnya. Tidak jelas bagaimana dia menghabiskan masa ketika menyertai lawatan Panmunjom pada Selasa. Tentera menyedari dia hilang apabila dia tidak turun dari penerbangan di Texas seperti yang dijangkakan. – AP

    Sekumpulan pelancong berdiri berhampiran stesen sempadan di Panmunjom di Paju, Korea Selatan pada 18 Julai 2023.Travis King (empat kiri) meluru menyeberangi sempadan semasa kunjungan itu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda