YANGON, 3 Okt – Dua askar Myanmar telah disoal siasat selepas mereka diberkas bersama hampir dua juta pil ‘yaba’ di negeri bergolak Rakhine, kata polis hari ini, ketika perdagangan dadah berterusan berlaku meskipun berlakunya keganasan komuniti.
Lelaki berkenaan ditahan selepas 1.88 juta tablet dikatakan bernilai kira-kira AS$2.8 juta ditemui dalam kenderaan tentera di bandar Maungdaw pada 1 Oktober, kata pegawai kanan antidadah memberitahu AFP.
Maungdaw merupakan pusat keganasan yang telah mengorbankan ratusan orang dan menyebabkan 500,000 penduduk Islam Rohingya lari ke Bangladesh.
Tentera Myanmar telah membanjiri kawasan itu sejak 25 Ogos dalam serangan besar yang direka untuk mengusir militan Rohingya.
Namun kehadiran mereka nampaknya gagal untuk memperlahankan perdagangan dadah.
Yaba, perkataan Thailand bermaksud ‘dadah gila’, adalah campuran dadah metamfetamin dan kafein yang semakin popular dalam kalangan orang muda di Bangladesh.
Zon sempadan barat Myanmar dibanjiri dengan metamfetamin yang kebanyakannya dihantar ke Bangladesh. – AFP