PALMERSTON NORTH, 20 OGOS – Sebuah mahkamah tentera hari ini telah menjatuhkan hukuman dua tahun tahanan ke atas seorang askar New Zealand kerana cubaan menjadi pengintip kepada kuasa asing.
Askar berkenaan, yang identitinya dirahsiakan, telah mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan mengintip, mengakses sistem komputer untuk tujuan tidak jujur dan memiliki bahan terlarang dengan pengetahuan.
Dia diperintahkan menjalani tahanan tentera di Kem Tentera Burnham berhampiran Christchurch dan akan dibuang kerja daripada Angkatan Pertahanan New Zealand sebaik sahaja hukuman tamat. Pengakuan bersalah itu, serta penerimaannya oleh mahkamah, menandakan sabitan kes pengintipan pertama dalam sejarah New Zealand.
Menurut pihak tentera kepada AFP, sepanjang tempoh hukuman, askar itu akan dibayar pada kadar separuh daripada gajinya sebelum ini sehingga dia dibuang kerja.
Mengikut maklumat yang dikemukakan di mahkamah, dia sebelum ini telah menerima sebanyak NZ$2,000 setiap dua minggu.

Mahkamah tentera di Kem Tentera Linton berhampiran Palmerston North turut memaklumkan askar berkenaan telah menyerahkan peta dan gambar pangkalan tentera kepada seorang pegawai yang menyamar sebagai ejen negara asing.
Hasil siasatan juga mendapati dia memiliki salinan video siaran langsung serangan pada 15 Mac 2019 yang mengorbankan 51 jemaah di dua buah masjid di Christchurch oleh pengganas kulit putih, Brenton Tarrant.
Askar tersebut menjadi subjek siasatan selepas serangan Christchurch kerana dia adalah ahli beberapa kumpulan sayap kanan yang dibanteras polis, menurut mahkamah.
Siasatan mendapati dia telah ‘menghubungi pihak ketiga dengan menyatakan dirinya seorang askar yang ingin berpaling tadah,’ menurut ringkasan fakta yang dibacakan pihak pendakwa.
Mahkamah tentera telah mengarahkan identiti negara asing yang terlibat dirahsiakan. – AFP

