BANGKOK, 13 JAN – Tentera Thailand telah membunuh lima orang disyaki sebagai pengedar dadah dalam insiden tembak-menembak di dalam hutan di utara Thailand, kelmarin, menurut pihak tentera, yang merupakan pertembungan ketiga dalam masa dua bulan.
Insiden tersebut berlaku pada awal pagi kelmarin di wilayah Chiang Rai yang berdekatan dengan sempadan ‘Segitiga Emas’ antara Thailand, Laos dan Myanmar, hab lumayan untuk perdagangan dadah haram. Tentera peronda bertembung dengan sekumpulan lima individu yang disyaki sebagai penyeludup dadah yang enggan bekerjasama untuk diperiksa dan mula menembak menggunakan senjata yang tidak diketahui, menurut pihak tentera.
“Narkotik sudah semakin berleluasa (di sempadan) namun akhir-akhir ini, komander tentera telah mengeluarkan arahan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang,” kata Premchai Premkamol, pegawai dalam Pasukan Petugas Pha Muang kepada AFP.
Insiden berbalas tembakan berlangsung lima minit dan pihak tentera tidak mengalami sebarang kecederaan, kata pasukan petugas dalam satu kenyataan. Hampir 500,000 pil methamphetamine dan sepucuk pistol telah dijumpai dalam pegangan kumpulan berkenaan. – AFP
