Mula jatuh cinta terhadap bidang lakonan, penyanyi Asmidar kini lebih terbuka menerima lebih banyak tawaran dalam usaha mengembangkan bakatnya sebagai pelakon.
Biarpun sudah lebih 10 tahun bergelar anak seni, bagi Asmidar atau Norhasmidar Ahmad, 39, tiada istilah terlambat baginya dalam mencuba sesuatu yang baharu, menurut laporan mStar.
“Saya sentiasa percaya pada rezeki. Mungkin sedikit terlambat sebab sebelum ini saya belum bersedia.
“Jika ada rezeki dan peluang selepas ini, saya tidak segan menerima tetapi banyak perlu saya belajar,” katanya.
Asmidar tampil memegang watak sebagai Kaswi dalam filem pertama lakonannya berjudul 6 Jilake yang kini sedang ditayangkan di pawagam.
Tidak menyangka diberi kepercayaan oleh pengarah Aziz M. Osman, kata Asmidar pada awalnya dia hampir menolak tawaran tersebut.
“Apabila diberi tawaran saya hampir tarik diri. Tapi Aziz beri kata putus jika saya 50-50 jangan terima. Rasa memang takut nak berlakon.
“Diberi kepercayaan ini maknanya mata dia lebih tahu. Jadi saya beranikan diri untuk mencuba.
“Apabila sudah terima maka ini adalah satu tanggungjawab dan saya perlu lakukan yang terbaik. Saya banyak bertanya pada rakan-rakan pelakon. Demi memantapkan lagi aksi di hadapan kamera, Asmidar juga mahu mengambil kelas lakonan sebagai persediaan.
Dalam masa sama dia juga terbuka untuk menerima sebarang komen penonton untuk menambah baik kualiti sebagai pelakon.
“Saya terima pandangan semua orang sebab nak tahu apa maklum balas mereka. Jika ada yang negatif saya cuba untuk jadikan ia positif.
“Untuk serius berlakon memang kena ambil kelas. Tak rugi tambah ilmu dan saya kena tahu banyak perkara,” jelasnya. – Agensi
