Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh BKN
SIEM REAP, 1 SEPT – Usaha dan inisiatif yang telah dijalankan oleh ASEAN selama 40 tahun dalam menangani cabaran pengedaran dadah haram semenjak penubuhannya memberi banyak manfaat kepada semua negara anggota ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi National Authority for Combating Drugs (NACD) Kemboja, Tuan Yang Terutama Jeneral Ke Kim Yan berkata demikian pada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN bagi Hal Ehwal Dadah (ASOD) ke-40 yang diadakan dari 27 hingga 30 Ogos lalu di Siem Reap, Kemboja.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN), semasa majlis pembukaan mesyuarat itu, TYT Jeneral Ke Kim Yan turut menyarankan ASEAN agar mengukuhkan kerjasama serantau dalam menangani peningkatan bahan kimia dan new psychoactive substances (NPS).
Selain itu, menurut TYT lagi, ASEAN juga perlu menyumbang kepada Pelan Kerja ASEAN mengenai Melindungi Komuniti daripada Dadah Haram 2016-2025 serta Pelan Kerjasama ASEAN untuk Menangani Pengeluaran dan Penyeludupan Dadah Haram di Segi Tiga Emas 2017-2019.
Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh Pemangku Pengarah BKN, Haji Mohd Jaffari bin Haji Mahadi sebagai ketua delegasi Negara Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai kanan dari BKN. Kenyataan menyatakan lagi bahawa Negara Brunei Darussalam, sebagai Pengerusi kepada Mesyuarat ASOD kali ke-39, menyerahkan tugas pengerusi kepada Kemboja selaku tuan rumah Mesyuarat ASOD ke-40.


Haji Mohd Jaffari, dalam ucapannya mengetengahkan dua aktiviti utama sepanjang Negara Brunei Darussalam menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi iaitu menjadi tuan rumah kepada 6th Intersessional Meeting of the ASOD Working Group on Law Enforcement yang telah diadakan pada 9 dan 10 April lalu.
Penyataan ASEAN semasa Segment Peringkat Menteri bagi Mesyuarat Commission on Narcotic Drugs (CND) ke-62 pada 14 dan 15 Mac lalu di Vienna, Austria oleh Vietnam bagi pihak negara-negara ASEAN dan Penyataan ASEAN Against Legalisation of Controlled Drugs semasa Mesyuarat CND ke-61 yang diadakan pada 7 hingga 9 November 2018 di Vienna, Austria oleh Singapura turut disampaikan pada mesyuarat berkenaan.
ASOD merupakan badan utama ASEAN yang bertanggungjawab untuk menangani isu berhubung dadah haram. Mesyuarat tahunan itu memberi peluang kepada negara anggota ASEAN untuk berkongsi amalan dan pengalaman terbaik menyelaras usaha menangani dadah haram mengikut Pelan Kerja ASEAN 2016-2025 dan Pelan Kerjasama ASEAN 2017-2019.
Pada mesyuarat itu, lima kumpulan kerja yang menjurus kepada bidang Pendidikan Pencegahan Dadah, Rawatan dan Pemulihan, Pelaksanaan Undang-undang, Penyelidikan dan Pembangunan Alternatif turut dibentuk.
Memandangkan masalah dadah merupakan masalah rentas sempadan, kerjasama dengan rakan dialog dan pihak-pihak luar adalah penting bagi menangani secara berkesan tren dadah yang sentiasa berubah-ubah Mesyuarat ASOD ke-40 turut menyaksikan pelancaran naskah bertajuk ASEAN Drug Monitoring Report 2018 yang diterbitkan oleh ASEAN Narcotics Cooperation Center (ASEAN-NARCO).
Naskah itu ialah laporan situasi dadah di rantau ASEAN bagi 2018 yang komprehensif serta inisiatif yang telah diambil oleh negara-negara ASEAN di bawah strategi permintaan dan bekalan dadah.
Mesyuarat ASOD ke-40 juga diteruskan dengan mesyuarat bersama rakan-rakan dialog iaitu Konsultasi ASOD+China ke-6, Konsultasi ASOD+Jepun ke-6, Konsultasi ASOD+Republik Korea ke-8, Konsultasi ASOD+3 ke-14, Konsultasi ASOD+India ke-5 and Konsultasi ASOD+Rusia ke-3.