Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aspek thayyiban perlu dititikberatkan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Kita tidak melihat dan menilai isu produk dan perkhidmatan setakat aspek kehalalannya sahaja, bahkan ia dilihat bersama dengan aspek thayyiban.

    Selain itu, ia juga melibatkan produk makanan dan minuman serta barang gunaan, dan dalam aspek perolehan rezeki pun hendaklah juga dengan cara halalan thayyiban.

    Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika menyampaikan ucapan perasmian Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban kali ke-6 (SAPPHAT VI) dan Ekspo Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023, hari ini.

    Majlis berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah itu turut diisi dengan pameran kaligrafi Islam dan beberapa pengisian persidangan yang lain.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, keperluan dan kepentingan untuk memperkasakan produk dan perkhidmatan halalan thayyiban itu dalam rangka menepati Maqasid Syariah.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyampaikan ucapan perasmian SAPPHAT VI sempena Brunei MYCE 2023, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama melancarkan Ekspo Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban.
    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyaksikan petak Ekspo Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban.

    “Keperluan dan kepentingan itu menghendaki produk dan perkhidmatan adalah bernilai baik dalam menjaga kemurnian agama, menjaga keselamatan nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta.

    “Kesemua itu mestilah ada dengan undang-undang dan aturan-aturan serta pelaksanaan penguatkuasaan yang berintegriti,” tambahnya.

    Beliau seterusnya menjelaskan, di Negara Brunei Darussalam setakat ini mempunyai beberapa undang-undang yang mencakupi tujuan penghayatan Maqasid Syariah dalam konteks halalan thayyiban tersebut.

    Selain undang-undang Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 dan Akta Daging Halal, (Penggal 182) di bawah kawalan Majlis Ugama Islam dan Wholesome Meat Order, 2011 di bawah kawalan MIPR yang kini menjadi MPRT, juga terdapat beberapa undang-undang lain.

    Ini seperti undang-undang mengenai kesihatan awam, kesejahteraan umum dan juga undang-undang keselamatan nyawa misalnya akta dan perintah di bawah Public Health (Food) Act, (Penggal 182), Poison Act, (Penggal 183) dan juga Intoxicating Substances Act, (Penggal 161).

    Menurut Yang Berhormat Pehin, ia bertujuan untuk mengawal keselamatan makanan, minuman dan barang gunaan dari dicemari oleh bahan-bahan yang boleh menjejaskan
    kesihatan.

    Ini juga selaras dengan tujuan utama menjaga kehalalan makanan dan kebolehgunaannya tanpa menjejaskan kesihatan tubuh badan, mental dan keselamatan nyawa.

    Beliau turut menjelaskan, apa yang menarik mengenai akta tersebut di dalamnya terdapat peruntukan undang-undang berhubung dengan syarat-syarat bagi penggunaan perkataan halal, ditanggung halal, atau makanan Islam.

    Ini menandakan, undang-undang di negara ini dalam konteks makanan termasuk minuman, perkakas dan pengiklanan adalah bertujuan melindungi orang-orang Islam dari mengkonsumsi dan menggunakan makanan.

    “Ini juga termasuk minuman dan apa juga perkakas yang tidak dijamin kehalalannya sekalipun makanan dan minuman serta perkakas itu baik dan tidak membahayakan nyawa dan kesihatan,” tambahnya.

    Manakala untuk pengimportan daging beku dari luar negara, tegas Yang Berhormat
    Pehin, mestilah dari pusat penyembelihan yang diiktiraf oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) setelah ia didapati layak oleh pegawai-pegawai pemeriksa dari beberapa agensi berkenaan negara ini, menurut pensyaratan dalam garis panduan dan aturan yang ditetapkan menurut kehendak Akta Daging Halal, (Penggal 182).

    Katanya lagi, “Proses tersebut sememangnya ketat dan memakan waktu dan perbelanjaan tambahan.

    “Ini adalah standard pensijilan halal MUIB sebagai amanah negara demi memelihara integriti halal bagi daging yang diimport dari pusat penyembelihan yang diiktiraf dengan Sijil Halal MUIB sendiri,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda