Aspirasi amal penyanyi muda melalui projek music speaks

Oleh Sim Y. H.

Usia tidak harus dijadikan sebagai alasan untuk membuat perubahan yang positif dalam kehidupan golongan yang memerlukan bantuan.

Itulah yang menjadi falsafah bagi seorang penyanyi, atlet dan pelajar cemerlang antarabangsa campuran British Filipina yang dilahirkan serta dibesarkan di Negara Brunei Darussalam, Shana Holmes.

Walau hanya berusia 17 tahun, beliau telah berjaya untuk mengumpul sumbangan sebanyak kira-kira $45,000 untuk membantu SMARTER Brunei bagi memasang monkey bar dan mengubahsuai kawasan riadah di Pusat EDGE SMARTER Brunei di Kampung Mata-Mata.

Inspirasi lahir daripada pertemuan

Ilham bagi menghulurkan bantuan kepada SMARTER Brunei itu, lahir daripada pertemuan di antara Shana dan ibunya, Carmina Holmes dengan Allahyarham Malai Haji Abdullah di mana mereka telah bersama-sama berkongsi idea untuk menyediakan kawasan riadah dan peralatan bantuan bagi pelajar-pelajar pusat berkenaan.

Daripada pertemuan itu, lahirlah inspirasi dalam diri remaja berkenaan serta keluarganya untuk mengadakan kegiatan amal untuk mengutip sumbangan bagi merealisasikan hasrat untuk membantu mereka yang memerlukan.

Monkey bar Pusat EDGE SMARTER Brunei telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan Pemangku Presiden SMARTER Brunei, Pengiran Zamri serta Shana sendiri pada26 Februari lalu.
Shana Holmes berani tampil ke hadapan untuk merealisasikan impiannya membantu kanak-kanak istimewa SMARTER Brunei.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai di hadapan monkey bar dan kawasan permainan baharu pusat berkenaan.

Hasil daripada percambahan idea, Projek Music Speaks, iaitu kempen mengutip sumbangan bermula pada Julai 2019 yang diterajui oleh Shana, di mana beliau menganjurkan persembahan nyanyian amal bagi projek kebajikan membantu SMARTER Brunei.

Menerusi projek itu, Shana menggunakan bakatnya sebagai seorang penyanyi mengadakan persembahan amal untuk mengutip sumbangan bagi projek monkey bar berkenaan dan pada masa yang sama, dapat beramal bagi menyediakan kemudahan untuk kanak-kanak istimewa pusat itu.

Kutipan projek amal sebagai sumbangan

Hasil daripada persembahan projek amal, Music Speaks, Shana berjaya mengumpulkan lebih daripada $45,000 bagi kegunaan membina dan memasang peralatan monkey bar dan kawasan permainan di Pusat EDGE SMARTER Brunei.

Perasmiannya telah disempurnakan pada 26 Februari lalu oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, dan Pemangku Presiden SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang serta Shana sendiri.

Pada majlis itu, Shana menyatakan perasaan amat terharu terhadap perkembangan kawasan permainan dan monkey bar itu, yang kira-kira lapan bulan dahulu hanya sebagai kawasan tempat letak kereta.

“Ia mengambil masa kurang daripada empat bulan untuk kami mengubah kawasan letak kereta ini menjadi kawasan bermain yang menarik dan ceria,” jelasnya lagi.

Beliau merasa yakin bahawa peralatan riadah yang dipilih khas untuk kanak-kanak istimewa pusat berkenaan akan dimanfaatkan oleh mereka sepenuhnya.

“Bukan sahaja mereka boleh menikmati sesi bermain dalam suasana yang selamat tetapi juga akan meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka,” tambahnya.

Shana menyatakan penghargaan terhadap sokongan dan sumbangan para penaja yang berbesar hati untuk membantu menjayakan projek amalnya itu.

“Kami berjaya mengumpul lebih $45,000 kerana kepercayaan anda kepada saya. Mereka percaya pada projek ini dan yang paling penting, mereka percaya pada kuasa golongan belia muda,” tekannya

Shana berharap Projek Music Speaks akan menjadi satu inspirasi kepada golongan muda untuk mengambil inisiatif dan bergiat aktif dalam komuniti masing-masing di mana pelbagai perkara yang bermakna boleh mereka lakukan untuk menyumbang bakti kembali kepada masyarakat.

“Satu tindakan, kecil atau besar, boleh menjana perubahan. Banyak yang boleh kita capai!,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SMARTER Brunei, Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah menyatakan penghargaan kepada Shana dan pihak keluarganya atas komitmen dan dedikasi mereka berusaha mengutip sumbangan bagi pembinaan projek monkey bar itu.

Beliau berkata bahawa Shana merupakan simbol yang menunjukkan bahawa usia itu cuma satu angka sahaja dan kita adalah tidak terlalu muda untuk menerajui sesuatu yang bermakna. “Tidak terlalu muda untuk memberikan impak dan tidak terlalu muda untuk bermimpi besar,” ujarnya.

Perjalanan untuk merealisasikan impian pembinaan projek monkey bar dan kawasan permainan di Pusat EDGE SMARTER Brunei merupakan satu perjalanan yang panjang dan Sharifah Adila Surya percaya bahawa, ayahnya Allahyarham Malai Haji Abdullah, jika masih bersama mereka pada hari ini, setentunya akan tersenyum lebar melihat perkembangan pusat berkenaan.