Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asrama Pusat Belia kini dibuka semula

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) baru-baru ini telah mengadakan majlis pembukaan semula asrama Pusat Belia setelah menjalani proses penaiktarafan selama lima bulan sejak Oktober tahun lalu.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku wakil peribadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Majlis turut dihadiri oleh Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Haji Mohamed selaku penasihat majlis; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara,Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari dan Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Khamis selaku penghulu Mukim Kota Batu; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said, serta ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Haji Abdul Halim bin Haji Fuad, disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Penyelia Pusat Belia, Haji Mohammad Sofian bin Haji Amit selaku pengerusi majlis.

    Menurutnya, asrama berkenaan telah meninggalkan kenangan manis kepada mangsa rumah kebakaran yang pernah ditempatkan di sana.

    Majlis seterusnya diiringi dengan laungan selawat daripada rombongan pelajar pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama-sama jemputan yang hadir sejurus majlis disempurnakan oleh tetamu kehormat, disusuli dengan tinjauan ke bilik-bilik asrama sebelum menyaksikan pameran.

    Penaiktarafan Asrama Pusat Belia yang mengandungi sebanyak 13 buah bilik asrama lelaki dengan muatan 44 buah katil dan sebuah bilik keluarga, tiga buah bilik asrama perempuan dengan muatan 20 buah katil adalah bertujuan untuk menyediakan prasarana-prasarana untuk para belia yang bergerak secara berpersatuan, kumpulan ataupun secara individu.

    Sementara itu, Pusat Belia akan memasuki usianya yang ke-50 tahun turut menjalani pelbagai perubahan yang dijalankan oleh KKBS antaranya ialah penyediaan ruang Belia Kitani, menaik taraf Asrama Pusat Belia dan pembukaan semula Dapur Belia serta Café Belia dengan kerjasama Darussalam Enterprise.

    Dengan pembukaan kembali asrama tersebut pastinya akan menjana ekonomi negara dengan harga sewa bilik yang ditawarkan pada harga mampu milik. Sehubungan itu, waktu bagi pendaftaran asrama adalah bermula jam 8 pagi hingga 10 malam kecuali hari Jumaat tutup pada jam 12 tengah hari hingga 2 petang. Untuk maklumat lanjut mengenainya, orang ramai bolehlah menghubungi Pusat Belia di talian 2222900 atau 2221219.

    Datin Paduka Dr Hajah Norlila semasa merasmikan pembukaan semula Asrama Pusat Belia, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda