ASSINIE-MAFIA – Penduduk tempatan di Assinie masih mengenang zaman dahulu ketika Club Med yang kini ditutup di tenggara Ivory Coast menawarkan begitu banyak peluang pekerjaan.
Suatu ketika dahulu, pelancong Eropah membanjiri pantai berpasir putih yang tidak berhujung dan perairan indah Assinie, yang terletak 90 kilometer di timur ibu kota ekonomi Abidjan dan berhampiran sempadan Ghana.
Malah bekas Club Med di kampung nelayan itu menjadi lokasi penggambaran filem komedi kultus Perancis tahun 1978, Les Bronzes, yang menyindir percutian resort. Bintang reggae Alpha Blondy turut memuji Assinie dalam lagunya pada tahun 2010.
“Dulu semuanya putih di sini. Hanya pelancong Eropah! Hendak cari orang kulit hitam pun susah,” gurau Pierre Ake, penduduk sebuah kampung berdekatan.
Namun, pelancong Eropah sudah lama mengemaskan barang mereka, disebabkan pergolakan politik yang membelenggu Ivory Coast pada awal 2000an.





Hari ini, kolam renang telah ditutup dan cahaya matahari menyinari menembusi bumbung bocor pentas yang dahulu menjadi tempat persembahan.
Resort Club Med itu kini hanya tinggal runtuhan, tetapi keadaannya yang usang menyembunyikan identiti baharu Assinie sebagai Riviera Ivory Coast.
‘BEVERLY HILLS’
Ketika pelancongan asing merosot, golongan elit masyarakat Ivory Coast mengambil kesempatan terhadap pinggir pantai sepanjang beberapa kilometer dan lagun yang dinaungi pokok kelapa.
Vila mewah, rumah agam yang tersembunyi di sebalik tembok tinggi, bangunan baharu yang sedang didirikan dan hotel-hotel eksklusif kini memenuhi kawasan pesisir.
Tanah kosong yang jarang ditemui dijaga rapi, menggambarkan nilai setiap meter persegi.
Sebuah vila tepi pantai boleh mencecah hampir satu juta euro, jumlah sukar dibayangkan oleh kebanyakan rakyat Ivory Coast. Sewa penginapan dengan kolam renang pula mencecah 1,000 euro (AS$1,150) semalam.
“Assinie ialah Saint Tropez Afrika Barat. Atau Beverly Hills, jika awda menyukainya,” kata ahli majlis tempatan Maxwell Kouassi, mengulangi kata-kata yang sering digunakan.
Golongan berada Abidjan menghabiskan hujung minggu mereka di Assinie, menikmati apa yang digambarkan brosur pelancongan sebagai ‘gabungan sempurna antara kemewahan santai dan keaslian yang terpelihara.’
Bekas bintang bola sepak Didier Drogba dan Samuel Eto’o memiliki vila di kawasan tersebut, manakala Presiden Alassane Ouattara, yang baru memenangi penggal keempat, menghabiskan hujung minggunya di sebuah estet yang tersembunyi di sebalik rimbunan palma.
Dari botnya di lagun, Ake menunjukkan kepada AFP beberapa kediaman milik ahli politik, pegawai sukan dan golongan elit perniagaan. Golongan keturunan Lubnan, yang mempunyai pengaruh ekonomi besar di Ivory Coast, ‘sangat ramai di sini,’ katanya.
Aktiviti menunggang ATV di pantai telah mengganggu presiden dan kini dilarang melalui arahan pentadbiran, menyebabkan pelancong beralih kepada aktiviti jet ski di lagun.
‘BANYAK DUIT’
“Di Assinie, terdapat banyak duit, berbilion-bilion,” kata Kouassi, sementara kesal kerana sedikit sahaja yang sampai kepada penduduk kampung.
“Ya, ramai orang kaya datang ke sini,” katanya, sementara menegaskan ‘golo-ngan lebih sederhana’ juga berkunjung ke Assinie.
Dengan lebuh raya yang baru siap menjadi sebahagian laluan dari Abidjan, “Assinie ialah kawasan masa depan, dan kami mempunyai perancangan besar,” tambahnya.
“Kami ada laut, lagun, alam semula jadi. Semua ini menarik perhatian. Semua orang mahu rumah di sini,” kata Laurent Kouame Anoh, Ketua Kampung Assouinde di hujung lagun.
“Beberapa anak muda kami bekerja di hotel, tidak ramai di vila,” tambahnya.
“Dulu hanya ada pondok beratap nipah, rumah buluh. Dalam 15 tahun kebelakangan ini, pembinaan ada di mana-mana,” kata seorang pekerja hotel.
“Assinie sudah banyak berubah,” kata Jean-Claude, penjual kraf Afrika.
“Pelancong sudah diganti oleh golongan berkuasa. Orang miskin macam kami tidak menarik minat mereka.” – AFP

