Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASSiSt bimbing pelajar berkeperluan khas

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Dalam memainkan peranan aktif mendukung Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023-2027, Politeknik Brunei (PB) sedang giat menyemak dan menyejajarkan beberapa inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Lima Tahun PB 2021-2025 dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Ke arah itu, satu garis panduan yang diguna pakai pada masa ini, Inisiatif Perkhidmatan Sokongan Akademik bagi Pelajar dan Staf (ASSiSt) adalah untuk membekalkan tenaga pengajar dengan keperluan serta bimbingan bagi memastikan pelajar-pelajar berkeperluan khas dapat meneruskan dan menamatkan pengajian mereka di PB dengan sempurna.

    “Setakat 14 Oktober 2023, seramai 15 orang pelajar berkeperluan khas sedang menjalani pengajian mereka di PB,” jelas Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon dalam ucapannya di Majlis Konvokesyen PB ke-9 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil diploma kepada para graduan yang diraikan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Dalam ucapannya lagi, Lim Kian Boon berkata bagi memastikan PB kekal relevan, pengemaskinian kepada struktur pengajian di institusi berkenaan telah dilaksanakan bermula pengambilan Julai 2023.

    Lim Kian Boon semasa menyampaikan ucapan di Majlis Konvokesyen PB ke-9 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara graduan yang diraikan pada majlis tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Struktur pengajian yang dikemas kini, jelasnya ialah pengemaskinian 18 buah program Diploma Tahap 5 dari tiga tahun kepada dua setengah tahun untuk mengambil kira garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK), Kementerian Pendidikan dan juga nasihat daripada pihak industri terutamanya melalui Manpower Industry Steering Committee (MISC) dan Politeknik Brunei External Review Committee (ERC).

    Selain itu, penjenamaan semula lapan buah program Diploma Tahap 5 supaya ia sejajar dengan keperluan pihak industri dan institusi pengajian tinggi yang lain serta penggabungan tiga buah program iaitu Diploma Tahap 5 dalam Business Studies, Diploma Tahap 5 dalam Business Studies (Entrepreneurship) dan Diploma Tahap 5 dalam Business Studies (Marketing) menjadi satu program iaitu Diploma Tahap 5 dalam Entrepreneurship and Marketing Strategies.

    Beliau juga menyatakan bahawa sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan kapasiti kemasukan pelajar, PB meningkatkan pengambilan bagi setiap kemasukan tahun akademik pada Julai dan Januari.

    Terdahulu dalam ucapannya, Lim Kian Boon merujuk kepada Petunjuk Prestasi Utama yang telah dikenal pasti bagi Pelan Pembangunan Lima Tahun PB 2021-2025, kadar pelajar yang berjaya menamatkan pengajian bagi kelas 2023 adalah 93.7 peratus.

    “Walau bagaimanapun, PB akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi sokongan, bimbingan serta pembangunan pelajar-pelajar agar dapat mencapai matlamat yang lebih tinggi,” tambahnya.

    Sementara itu, bagi kadar graduan mendapat pekerjaan bagi kelas 2021 adalah 71.5 peratus bagi 12 bulan selepas konvokesyen.

    Melalui pencapaian itu, ulas Lim Kian Boon, PB terus berjaya untuk kekal sebagai salah satu pembekal sumber tenaga manusia bagi industri sektor awam dan swasta yang berkualiti, berkemahiran tinggi serta berdaya saing.

    “Ciri-ciri tersebut boleh dilihat daripada hasil Kajian Keputusan Majikan bagi Kelas 2021 yang bekerja di sektor awam dan juga swasta, di mana 97.4 peratus daripada majikan telah memberikan maklum balas positif terhadap mutu pekerjaan dan prestasi graduan PB,” kongsinya lagi.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda