BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – ASTARI, hab inovasi di bawah Poni Group, telah menyertai dua persidangan utama iaitu Persidangan Rangkaian Kajian Borneo (BSN) anjuran Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 3 Jun dan Persidangan dan Pameran Masa Depan Digital (DFCE) 2025 anjuran Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei (AITI) pada 4 hingga 5 Jun. Kedua-dua penyertaan ini merupakan sebahagian daripada program Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2025 yang berlangsung sepanjang bulan Jun di Bandar Seri Begawan.
Penyertaan ASTARI sejajar dengan Pelan Strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) untuk menjadikan Brunei sebagai sebuah Negara Pintar dengan matlamat Memperkasa Kesalinghubungan demi Peluang Sosio-Ekonomi, Kreativiti dan Kualiti Hidup yang Lebih Baik. Penglibatan ASTARI dalam persidangan ini menonjolkan usaha berterusan Brunei dalam memacu transformasi ke arah ekonomi digital yang lebih pintar dan saling terhubung.
Dalam Persidangan BSN, salah seorang rakan teknologi utama ASTARI, Ketua Pegawai Eksekutif Ixiono Pte Ltd dari Singapura, Raja IRG, seorang usahawan teknologi berpengalaman dalam bidang kecerdasan buatan (AI), rantaian blok dan infrastruktur pintar, telah menyampaikan ceramah khas bertajuk Digitally Transforming Cities with AI and Smart Infrastructure: Brunei as a Regional Roadmap.
Sementara itu, dalam persidangan DFCE anjuran AITI, Raja turut membentangkan tajuk Unlocking Value Through Smart Infrastructure and AI: A Strategy for Digital Transformation dan kemudiannya menyertai perbincangan panel bertaraf tinggi bertajuk Innovating with IoT: Strategies for Business Growth and Value Creation. Sesi tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Urusan Confer, Allen Lai dan disertai oleh beberapa tokoh dari sektor awam dan swasta termasuk Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan di Huawei Technologies, Andrew Williamson serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Poni dan ASTARI, Awang Mohd Tahsin Wong Abdullah yang turut menyampaikan ucapan pembukaan bagi sesi tersebut.
Awang Mohd Tahsin yang merupakan seorang usahawan tempatan yang telah menerima pelbagai anugerah inovasi, dikenali atas kepimpinannya dalam bidang kelestarian marin dan maritim serta peranannya sebagai pendukung utama inovasi rentas sektor melalui pendigitalan dan penggunaan AI menerusi platform ASTARI. Ekosistem ASTARI yang semakin berkembang turut melibatkan rangkaian rakan teknologi antarabangsa seperti Jejakin yang menyediakan pengurusan karbon dan analitik berasaskan AI untuk penilaian biodiversiti; Ixiono untuk pembangunan bandar pintar dan teknologi rantaian blok; EGB Engineering yang memberi tumpuan kepada bahan api alternatif dan strategi penyahkarbonan; serta EarthSight International yang membangunkan teknologi satelit generasi baharu bagi tujuan ramalan bencana alam, mitigasi dan tindak balas kecemasan.
