Thursday, November 7, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asterix kini diterjemah dalam dialek unik Sweden di Finland

    HELSINKI, 6 NOV – Salah sebuah buku pengembaraan komik Asterix kini telah diterjemahkan ke dalam dialek Sweden yang jarang digunakan – dituturkan hanya oleh beberapa ribu orang di barat Finland, menurut pengarah projek itu kepada AFP.

    Komik berjudul Asterix and the Great Crossing diterbitkan pertama kali pada tahun 1975, kini boleh didapati dalam bahasa grondspraatsi, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan dialek tersebut.

    Mengambil latar Empayar Rom pada tahun 50 Sebelum Masihi, siri komik Asterix dengan 40 album itu mengisahkan perjuangan sebuah kampung kecil yang menentang pemerintahan Rom, hasil karya penulis Rene Goscinny dan pelukis Albert Uderzo sejak 1959.

    Sementara album pertama Asterix telah diterjemahkan ke bahasa Sweden pada tahun 1970, pengarah projek, John Hagnas memberitahu AFP bahawa edisi grondspraatsi itu adalah ‘terjemahan rasmi pertama ke dalam dialek Sweden di Nordik’.

    Finland mempunyai dua bahasa kebangsaan, iaitu Finland dan Sweden.

    Kebanyakan penduduk dengan populasi 5.5 juta itu bertutur dalam bahasa Finland sebagai bahasa ibunda, manakala bahasa Sweden dituturkan sebagai bahasa utama oleh hanya lebih lima peratus daripada penduduknya.

    Penduduk Finland yang berbahasa Sweden, yang kebanyakannya tinggal di kawasan pantai selatan dan barat negara itu, menuturkan beberapa dialek tempatan lama, di mana sebahagiannya sukar difahami walaupun oleh penutur bahasa Sweden lain di Finland disebabkan keunikannya. – AFP

    Gambar instagram
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda