Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aston Villa, Bournemouth beri saingan

    MANCHESTER, 16 APRIL – Aston Villa mula bersaing untuk menduduki tempat empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Newcastle dikalahkan dengan keputusan 3-0 di Villa Park kelmarin, manakala Tottenham tewas 3-2 di tempat sendiri kepada Bournemouth.

    Brighton juga meningkatkan peluang mereka dengan kemenangan 2-1 di Chelsea sekali gus menunda penantian Frank Lampard meraikan kemenangan pertama sejak kembali ke Stamford Bridge sebagai pengurus sementara.

    Villa masih ketinggalan enam mata daripada kedudukan empat teratas, tetapi merupakan pasukan terbaik dalam persaingan selepas kemenangan ketujuh dalam lapan perlawanan.

    Ollie Watkins kini telah menjaringkan 11 gol dalam 12 perlawanan apabila dia menjaringkan dua gol selepas Jacob Ramsey membawa pasukan kendalian Unai Emery mendahului perlawanan.

    Dengan Manchester United tidak beraksi sehingga Ahad di tempat lawan di Nottingham Forest, Tottenham berpeluang untuk mara ke empat teratas tetapi mensia-siakannya apabila Bournemouth berjaya bertahan.

    Pemain-pemain Bournemouth meraikan jaringan gol ketiga pasukan mereka oleh rakan sepasukan, Dango Ouattara semasa perlawanan menentang Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur, England, baru-baru ini. – AP

    Son Heung-min membawa Spurs sebagai pendahulu permainan, namun Cherries menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa melalui jaringan Matias Vina.

    Dominic Solanke kemudian meletakkan pasukan pelawat di hadapan enam minit memasuki babak kedua selepas kesilapan dilakukan oleh pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Davinson Sanchez.

    Sanchez kemudiannya dikeluarkan dan diganti oleh Arnaut Danjuma, yang berjaya menyelamatkan satu mata apabila dia menjaringkan gol menentang kelab lamanya dua minit sebelum tamat permainan.

    Namun, drama itu tidak berakhir di situ apabila tendangan Dango Ouattara melencong masuk ke gawang pada minit ke-95 sekali gus membawa Bournemouth enam mata di depan zon penyingkiran. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda