KUALA LUMPUR, 18 Julai – Astro selaku penyiar rasmi temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) menyediakan lapan saluran menerusi Astro TV serta platform digital Astro Go dan Njoi Now.
Naib Presiden Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata seiring perkembangan teknologi penyiaran dan ledakan media baru, Astro akan memastikan peminat sukan negara akan dapat berkongsi perjuangan kontinjen Malaysia secara lebih dekat menerusi pengalaman tontonan TV dan platform digital yang disediakan Astro.
Beliau berkata selepas kejayaan liputan Sukan Olimpik Rio 2016 mencatat jumlah tertinggi 11.1 juta penonton di Astro Arena, Astro terus komited memberi pengalaman tontonan dalam visual berkualiti tinggi serta berusaha memenuhi keperluan industri penyiaran dunia digital yang semakin berkembang.
“Memandangkan Malaysia selaku tuan rumah pada edisi kali ini, misi yang digalas adalah untuk memastikan kesinambungan yang cemerlang dalam menyajikan yang terbaik untuk peminat sukan negara menerusi gemblengan maksimum tenaga dan kepakaran petugas seramai lebih 300 orang pada temasya sukan serantau kali ini.
“Menerusi inisiatif ini, peminat yang bukan pelanggan Astro turut berpeluang mengakses saluran Astro Arena dan semua saluran tambahan itu secara percuma menerusi aplikasi Astro GO dan NJOI Now. Seluruh rakyat Malaysia juga akan dapat memberi sokongan kepada wira-wira negara dengan menyertai kempen anjuran kami #AyuhMalaysiaKu dan #KitaSamaHero,” katanya. – Bernama