Asyik dalam dunia ‘mini’

Oleh Nurdiyanah R.

Matanya begitu teliti dalam memasang setiap struktur binaan kit model robot yang bagaikan wira-wira kecil di hadapannya. Setiap gerak geri tangan diadun dengan idea-idea karya yang indah lagi menarik sentiasa bermain dalam mindanya. Dengan penuh kesungguhan, warna-warni cat dilakar pada setiap permukaan rekaan yang dihasilkan.

Begitulah kecintaan insan yang berjiwa kreatif, Yapp Giem Eing atau lebih senang disapa sebagai Yapp dalam meniti dunia seni rekaan miniatur sehingga mampu menghasilkan pelbagai rekaan dengan ciri-ciri estetik yang tersendiri dan begitu memukau mata para penggemarnya.

“Berbicara mengenai miniatur, model robot jenis Gundam merupakan rekaan miniatur saya yang pertama sewaktu kecil dahulu. Dari sebuah pemberian kit model Gundam daripada ayah tercinta dan hanya menggunakan perkakas seperti nail cutter dan cecair gam biasa untuk mencurahkan kreativiti dalam rekaan sang wira, detik itulah saya mula jatuh cinta dengan dunia seni rekaan miniatur sehingga ke hari ini,” ujar Yapp, senyum kesipuan ketika mengimbas kenangan silam mula mengenali dunia rekaan miniatur sewaktu berusia lapan tahun semasa ditemui penulis dan rakan Media Permata, baru-baru ini.

Hobi cetus ketenangan diri

Selaku pengasas salah sebuah pembekal miniatur dalam talian yang pertama di negara ini di bawah Kitsu Models, Yapp menyatakan pelbagai jenis miniatur penuh kreativiti telah dihasilkan antaranya wira atau pahlawan, tentera, kereta kebal dan sebagainya.

“Suatu yang kecil itu indah. Memang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Bahkan dengan aktiviti sebegini, ia menambahkan sense of curiosity saya untuk menghasilkan rekaan-rekaan yang berbentuk comel dan unik. Segalanya memberi saya kepuasan dan inilah sebagai salah satu hobi yang mampu mewujudkan ketenangan pada diri dan jiwa ini ketika bersantai,” tambahnya lagi yang kini berusia 32 tahun dengan nada kegembiraan.

Miniatur yang dicipta Yapp kebanyakannya miniatur aksi daripada siri Gundam dan watak-watak daripada permainan video.
Antara perkakas dan bahan-bahan yang digunakan dalam menghasilkan rekaan miniatur.

Yapp menjelaskan bahawa pembuatan rekaan miniatur ini tidaklah terlalu rumit namun ia memerlukan ketelitian dan kesungguhan yang mendalam.

Curahan nilai kreativiti penuh ketelitian

Yapp, bekas seorang pegawai polis turut menjelaskan bahawa pembuatan rekaan miniatur ini tidaklah terlalu rumit namun ia memerlukan ketelitian dan kesungguhan yang mendalam bermula daripada proses pemotongan serpihan bahan-bahan kit model sebelum diteruskan dengan proses rekaan bentuk yang diinginkan dengan melekatkannya menggunakan gam khas.

Ia diikuti pula dengan proses pengecatan dengan pelbagai pilihan warna cat yang kalis air dan juga bahan pengilat khas.

“Dalam mencipta setiap rekaan itu pastinya memiliki kisah atau cerita yang tersendiri seperti animasi-animasi terkenal dalam aplikasi permainan (games) tertentu. Cabaran semestinya ada untuk menghasilkan setiap rekaan.

“Namun hakikatnya, segala kepayahan itu terhakis sebegitu sahaja atas dasar kecintaan terhadapnya demi mewujudkan sesuatu yang memuaskan,” jelasnya yang kini bertugas sebagai seorang perancang kewangan bertauliah.

Terokai anugerah bakat sebaik-baiknya

Dalam pada itu, Yapp bersyukur dengan sokongan dan dorongan yang teguh daripada insan-insan tersayang turut berkesempatan mengemukakan bahawa apabila kita memiliki bakat atau kemahiran tertentu, kita mestilah sentiasa memberanikan diri untuk tampil serta yakin untuk menerokai sedalam-dalamnya kemampuan yang ada.

“Di samping itu, sentiasalah menimba ilmu dan menerima segala teguran secara positif serta mencari setiap permasalahan itu dengan jalan penyelesaian yang terbaik. Apa yang pasti capailah segala impian dan cita-cita selagi masih dikurniakan kesihatan yang baik dan tenaga yang masih kuat dengan penuh komitmen dan keikhlasan meskipun harus meniti anak-anak tangga yang berliku-liku,” nasihat beliau yang dalam perancangan akan membuka sebuah kedai khusus miniatur pertama di negara ini kepada masyarakat di negara ini dengan nada penuh ketulusan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.