Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – At-Taqwa Travel Tours pagi tadi telah pun mengadakan Praktikal Sa’ie bagi bakal jemaah haji yang akan menunaikan haji di bawah pengendaliannya yang diadakan di Budiman Walk, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Praktikal Sa’ie berkenaan telah dihadiri oleh lebih 30 orang bakal jemaah haji At-Taqwa dan tiga orang pegawai pengiring haji bagi rombongan pertama yang bakal bertolak pada 28 Julai ini.
Hadir menyampaikan taklimat dan mengendalikan praktikal tersebut ialah pensyarah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Kahar bin Ali yang menjelaskan mengenai tatatertib dalam mengerjakan sa’ie dan praktikalnya.
Kumpulan pertama ini akan bertolak ke Madinah dengan menggunakan Penerbangan Diraja Brunei.

Dengan adanya aktiviti praktikal seumpama ini diharap akan memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada bakal jemaah haji apabila melaksanakan sa’ie nanti.
Ia juga merupakan salah satu inisiatif syarikat untuk melatih fizikal bakal-bakal jemaah haji ketika mengerjakan ibadah sa’ie dan persiapan diri sebelum berangkat ke tanah suci di samping mengeratkan lagi hubungan dan mahabbah bersama bakal jemaah haji yang lain.
Fasa kedua nanti akan diadakan dengan pengisian taklimat haji dan praktikal tawaf pada sesi yang seterusnya.