Atalanta berpesta gol

MILAN, 26 JAN – Hatrik Josip Ilicic termasuk sepakan percuma menarik dari bahagian tengah membantu Atalanta membelasah Torino 7-0 dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.

Ia adalah kekalahan terburuk dialami Torino di laman sendiri yang turut menyaksikan mereka menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain.

Ilicic membuka tirai jaringan pada minit ke-17 dan menambah dua lagi gol selepas lapan minit perlawanan bersambung di babak kedua minit ke-53 dan 54.

Pemain gantian, Luis Muriel turut meletakkan nama sebagai penjaring dengan meledak dua gol pada lewat babak perlawanan bagi menambah dua gol awal di babak pertama yang dijaringkan Robin Gosens dan Duvan Zapata.

Tuan rumah terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain dalam suku terakhir perlawanan selepas Armando Izzo dilayangkan kad merah sebelum Sasa Lukic menyertainya ketika perlawanan berbaki seminit.

Jurulatih Torino, Walter Mazzarri nyata kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya dan menyifatkan ia sebagai yang terburuk dalam kerjayanya.

“Apa yang kami boleh lakukan adalah memohon maaf. Sepanjang kerjaya saya, saya tidak pernah mengalami permainan seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, pengendali itu menegaskan dia tidak akan meletak jawatan.

“Letak jawatan? Tidak, saya tidak akan meninggalkan pasukan dalam tempoh sukar ini,” tegasnya. – AFP

Hatrik Ilicic membantu Atalanta membelasah Torino 7-0 dalam saingan Serie A, awal pagi tadi. – Agensi