ROM, 26 SEPT – Duvan Zapata dan Marten de Roon menjaringkan gol di separuh masa kedua ketika Atalanta mengejutkan Roma bagi kekalahan pertama dalam Serie A musim ini awal pagi tadi, menamatkan harapan Chris Smalling untuk menikmati kemenangan pada penampilan pertamanya.
Kemenangan di Stadio Olimpico itu membolehkan Atalanta untuk mendaki ke kedudukan ketiga carta Serie A, tiga mata di belakang pendahulu dan juara bertahan Juventus. Skuad kendalian Paulo Fonseca, Roma, pula berada di kedudukan kelima dengan lapan mata.
Atalanta membuka jaringan pada minit ke-71 apabila Zapata, dimasukkan sebagai pemain gantian di separuh masa kedua, menyudahkan gol pada jarak dekat. Pemain tengah Belanda, De Roon, memastikan kemenangan itu dengan tandukan di saat-saat akhir selepas penjaga gol Roma, Pau Lopez, gagal menyambut hantaran lintang.
Ia adalah malam mengecewakan buat Smalling, yang membuat penampilan pertama bersama Roma selepas dipinjamkan ke Itali dari Manchester United pada musim panas. – AFP