ROM, 4 NOV – Atalanta mengejutkan pendahulu Serie A, Napoli dengan kemenangan 3-0 kelmarin ketika Ademola Lookman menjaringkan dua gol.
Napoli berharap untuk melebarkan jurang di puncak liga, namun dikejutkan oleh Atalanta di Stadium Diego Armando Maradona, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah pasukan tuan rumah yang bermula sejak 18 Ogos.
Inter Milan kemudian merapatkan jurang dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Venezia, menyaksikan mereka hanya satu mata di belakang Napoli menjelang penghujung minggu ini.
Lookman membuka jaringan awal pada minit ke-10 apabila tandukan Marten de Roon jatuh tepat di hadapan pemain antarabangsa Nigeria kelahiran London itu, yang mengatasi penjaga gol Napoli, Alex Meret dari jarak dekat.
Dia kemudian menggandakan pendahuluan Atalanta dengan rembatan melencong yang cantik selepas minit ke-30.
Jurulatih Napoli, Antonio Conte jelas marah apabila pertahanan pasukannya memberi ruang kepada Lookman untuk melakukan rembatan.
Pasukan tuan rumah mencipta beberapa peluang. Bekas pemain tengah Manchester United, Scott McTominay hampir menjaringkan gol apabila rembatannya terkena tiang, yang merupakan peluang terbaik Napoli dalam perlawanan itu.
Mateo Retegui menambah gol ketiga untuk Atalanta pada masa kecederaan, yang ke-11nya musim ini, sekali gus membolehkan pasukan pelawat meraikan kemenangan mereka sambil melonjak ke 22 mata, hanya tiga mata di belakang Napoli.
“Kami bermain dengan sangat baik, merampas semula tiga mata daripada pendahulu liga merupakan sumber kebanggaan yang besar,” kata Lookman kepada DAZN.
Jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini menambah, “Apabila awda datang untuk bermain di Napoli menentang pasukan yang yang telah memulakan musim dengan cemerlang, awda tahu bahawa awda perlu bermain dengan hebat. Kami sangat berpuas hati.” – AFP