TEMBURONG, 5 OGOS – The Global School-Based Health Survey (GSHS) 2014 yang dikendalikan oleh Pusat Promosi Kesihatan (PPK) Kementerian Kesihatan, mendapati golongan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di negara ini terlibat dalam beberapa aspek amalan hidup yang berisiko termasuk buli.
Daripada tinjauan ke atas 2,599 pelajar, 21.1 peratus remaja pernah dibuli sekali atau lebih, dengan pelajar lelaki merupakan tertinggi dibuli dengan 22 peratus manakala pelajar perempuan hanya 20.1 peratus.
Manakala melalui kaji selidik Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan turut menemui tren atau pola yang hampir sama dan selaras dengan hasil kaji selidik GSHS.
Sehubungan itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, PPK dengan kerjasama Jabatan Sekolah-sekolah berpendapat adalah penting melakukan intervensi bagi mengurangkan buli dalam kalangan para pelajar sebelum ianya lebih menular.
Salah satu intervensi adalah ‘Bengkel Brunei Bebas Buli’ bagi sekolah-sekolah rendah dan menengah, melibatkan ibu bapa, guru-guru dan wakil pelajar bagi sama-sama membincangkan isu-isu berkaitan buli dan langkah pencegahannya diungkayahkan oleh Unit Strategik Kesihatan Mental di Pusat Promosi Kesihatan dengan sokongan dari Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Brunei. Bengkel yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah Rataie, Mukim Bokok, Daerah Temburong ini dihadiri oleh hampir 100 orang, terdiri daripada kumpulan sasaran yang dimaksudkan.

Semasa bengkel tersebut, segala maklumat mengenai buli yang terkini dikongsikan bersama. Selain itu, latihan asas dalam pengendalian projek juga turut diadakan kepada kumpulan pelaksana (ibu bapa, guru-guru dan wakil pelajar), memandangkan kumpulan inilah yang nanti akan memberigakan dan menjalankan kempen kesedaran Brunei Bebas Buli di peringkat sekolah-sekolah di seluruh negara.
Kumpulan juga diberikan kesempatan untuk membentangkan idea masing-masing dalam membentuk kaedah penyampaian Kempen Brunei Bebas Buli (3B) di mana hasil idea terbaik itu nanti akan dijadikan kempen di sekolah-sekolah di seluruh negara. Ini adalah sebagai satu langkah memastikan Kempen Brunei Bebas Buli (3B) yang akan dijalankan di sekolah-sekolah adalah seragam dan sebarang bahan-bahan pemberigaan juga dapat digunasama.
Bengkel dihasratkan mencapai matlamat menangani isu buli dan kesnya kepada mangsa, pembuli dan saksi serta menurunkan kadar buli, mempromosikan budaya bebas buli melalui kesedaran dan bimbingan kesan-kesan negatif buli dan cara menanganinya, meningkatkan pengetahuan dan kesedaran orang awam mengenai buli.
Ia juga diharap dilaratkan kepada sektor kerajaan dan swasta serta mereka yang berkepentingan seperti kumpulan belia negara sebagai penggerak untuk membanteras isu buli dalam semua lapisan masyarakat.
Bengkel diakhiri dengan penyampaian poster kepada peserta-peserta bengkel yang disampaikan oleh Ketua Strategik Kesihatan Mental selaku Pengerusi Bersama Kempen 3B, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan.