LABUAN, 12 NOV – Isu penganiayaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia memerlukan penyelesaian segera dan tuntas daripada majikan serta penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono.
Beliau berkata kira-kira 90 peratus aduan diterima Kedutaan Indonesia berkaitan pekerja domestik menunjukkan trend membimbangkan antaranya tidak dibayar gaji bulanan termasuk ada pekerja tidak menerima bayaran selama 19 tahun.
“Laporan turut menunjukkan terdapat kes dera dan penganiayaan seperti tidak diberi makanan, justeru menekankan kepentingan untuk intervensi,” katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Agung Konsulat Indonesia di sebuah hotel, hari ini.
Hermono berkata penganiayaan turut membabitkan pekerja tidak berdaftar yang mungkin berpunca daripada ketiadaan kontrak perkhidmatan.
Beliau berkata terdapat majikan yang tidak mendaftarkan pekerja mereka kerana cuba mengelak membayar levi dan bayaran wajib lain, justeru menambah kepada peningkatan pekerja domestik tanpa dokumen.
“Ia adalah kewajipan majikan untuk mendaftarkan pembantu domestik mereka dengan pihak berkuasa, bukannya pekerja, kami harap pihak berkuasa akan bertindak segera terhadap isu ini,” katanya.
Beliau berkata langkah dan hukuman tegas terhadap majikan yang melanggar undang-undang penting bagi memastikan kebajikan pekerja domestik khususnya 70,000 pekerja Indonesia yang berdaftar di Malaysia.
Mengenai impak pascapandemik COVID-19, Hermono berkata jumlah pekerja Indonesia berdaftar di Malaysia turun ketara daripada 1.2 juta ke 480,000 orang. – Bernama