BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Mesyuarat ASEAN Trade Facilitation Joint Consultative Committee (ATF-JCC) kali ke-20 secara persidangan video di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, telah pun berakhir hari ini.
Mesyuarat dua hari itu telah pun dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin selaku pengerusi ATF-JCC bagi tahun 2021.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh wakil-wakil dari negara-negara anggota ASEAN serta pengerusi atau wakil daripada badan-badan sektoral ASEAN yang berkaitan.
Berikutan Mesyuarat ATF-JCC pada kali pertama bagi tahun 2021 yang diadakan pada bulan Januari yang lalu, mesyuarat selama dua hari itu telah membincangkan mengenai dengan status terkini bagi ASEAN Work-Programme on Trade Facilitation termasuk perkembangan pelaksanaan pelan tindakan di bawah Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF); Program Kerja dan Keutamaan Memudahcara Perdagangan ASEAN bagi Tahun 2021; dan Non-Tariff Measures Cost Effectiveness Toolkit (NTM Toolkit).
Di samping itu, konsultasi bersama majlis perniagaan yang berkaitan dan rakan-rakan bantuan teknikal telah juga diadakan.
Mesyuarat juga telah pun mengesahkan NTM Toolkit iaitu salah satu hasil keutamaan ekonomi bagi Negara Brunei Darussalam sebagai pengerusi ASEAN 2021.
