Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin selaku pengerusi ATF-JCC bagi 2021 telah mempengerusikan Mesyuarat ASEAN Trade Facilitation Joint Consultative Committee (ATF-JCC) ke-21 yang bersidang pada 26 dan 28 Julai secara persidangan video di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Menurut kenyataan, mesyuarat dihadiri oleh wakil-wakil daripada negara anggota ASEAN, pengerusi-pengerusi dan wakil-wakil dari badan-badan sektoral ASEAN yang berkaitan serta rakan-rakan luar termasuk ASEAN Business Council, Joint Business Council (JBCs), Asian Trade Centre (ATC), Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) serta Enhanced ASEAN Regional Integration Support by the EU (ARISE) Plus.
Kenyataan menjelaskan bahawa berikutan dengan Mesyuarat ATF-JCC ke-20 yang telah diadakan pada Mei lalu, mesyuarat dua hari berkenaan telah membincangkan mengenai status Program Kerja ASEAN bagi Memudahcara Perdagangan termasuk status terkini bagi Non-Tariff Measures Cost Effectiveness Toolkit (NTM Toolkit) yang merupakan salah satu Priority Economic Deliverables (PEDs) Negara Brunei Darussalam bagi tahun ini.
Mesyuarat turut membincangkan mengenai perkembangan pelaksanaan pelan tindakan di bawah ASEAN Comprehensive Recovery Framework (ACRF), cadangan-cadangan program kerja dan keutamaan memudahcara perdagangan ASEAN bagi 2022, penambahan jenis-jenis barangan asasi bagi pelaksanaan memorandum persefahaman dalam melaksanakan Non-Tariff Measures (NTMs) di bawah Hanoi Plan of Action on Strengthening ASEAN Economic Cooperation and Supply Chain Connectivity in Response to the COVID-19 Pandemic serta pelaksanaan cadangan-cadangan penambahbaikan dalam Mid-Term Review AEC 2025.
Mesyuarat itu juga telah mengadakan konsultasi bersama rakan-rakan luar daripada sektor swasta, ERIA, ATC dan ARISE Plus.