Friday, January 17, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ATF platform penting promosi pelancongan serantau

    JOHOR BAHRU, 16 JAN – Forum Pelancongan ASEAN (ATF) masih merupakan acara penting untuk mempromosikan pelancongan dalam kalangan 10 negara anggota terutamanya pada ketika pameran pelancongan antarabangsa semakin berkembang, kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk P Manoharan.

    Beliau berkata walaupun pelbagai pameran pelancongan telah muncul termasuk ITB Asia, Arabian Travel Market (ATM) dan World Travel Market (WTM), ATF satu-satunya acara yang mampu menyatukan rantau ini untuk mengetengahkan daya tarikan bersama kepada pasaran global.

    “Ia satu-satunya platform yang menggabungkan kesemua 10 destinasi ASEAN untuk memperkenalkan ASEAN kepada pasaran jarak jauh sebagai satu destinasi yang menarik.

    Sehubungan itu, bagi saya, ATF masih relevan,” katanya.

    Manoharan berkata untuk memastikan ATF kekal relevan, Persatuan Pelancongan ASEAN (ASEANTA) dan pihak berkepentingan perlu mengadakan perbincangan mendalam untuk menilai semula matlamat dan organisasi acara itu.

    “ASEANTA dan pihak berkepentingan perlu mencapai muafakat mengenai bagaimana kita mengembangkan ATF. Hal ini mungkin melibatkan pencarian kaedah baharu untuk menyesuaikan dengan trend industri semasa,” katanya.

    Manoharan berkata demikian semasa taklimat media antarabangsa mengenai Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor bersempena penganjuran ASEAN Travel Exchange (TRAVEX), satu daripada komponen dalam ATF 2025. – Bernama

    Datuk Manoharan Periasamy bercakap kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda