Mahu kembali kurus seperti anak dara, pelakon Datin Atikah Suhaime melantik dua jurulatih untuk membantunya menurunkan berat badan selepas bersalin.
Atikah atau Nur Atikah Mohd Suhaime, 34, berkata dia kini lebih sibuk dengan rutin harian yang padat berbanding sewaktu menjadi pelakon sepenuh masa.
“Saya ada dua jurulatih yang menjaga saya untuk latihan bebanan dan pilates. Memang hari-hari saya sibuk dengan gim, pilates dan hiking.
“Saya akan bersenam dan diet yang agak ketat untuk turunkan berat badan. Sekarang ini baru turun 15 kilogram (kg) tapi saya sudah nampak perubahan,” katanya kepada mStar.
Kata Atikah, perjalanannya untuk mendapatkan berat badan ideal masih lagi panjang namun kini berjaya mendapatkan berat sebanyak 64kg selepas bersalin pada Mac lalu.
“Ketika mengandung berat badan saya mencecah 84kg berbanding sebelum kahwin hanya 51kg. Saya tekad nak turunkan lagi 15kg. Saya buat ini bukan untuk kurus tapi kesihatan diri saya supaya dapat menjaga anak,” katanya lagi.
Menurut Atikah, segala senaman dilakukan membantunya meningkatkan stamina sekali gus dapat meluangkan masa yang lebih banyak dengan anak.
“Semua senaman yang saya lakukan membantu stamina saya untuk mengendong Mulan (anak) dalam masa yang lama supaya tak sakit belakang.
“Saya perlu ada stamina yang kuat untuk jaga anak saya. Kalau saya lemah anak saya akan lebih banyak masa dengan pembantu,” luahnya.
Berkongsi mengenai reaksi suaminya iaitu Datuk Lokman Tea, dia sentiasa menyokong pilihannya malah pandai mengambil hati dengan pelbagai kata-kata pujian.
“Saya rasa suami saya sama macam suami lain, suka tipu. Kita tengah borak dia cakap cantik, kita tengah diet dia cakap kurusnya. Tapi saya tetap gembira dengan pujian itu walaupun tahu dia hanya tipu. Dia pandai jaga hati,” kongsinya. – Agensi









