Tuesday, October 1, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet 9 Ball Brunei sasar kejayaan di Vietnam

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Mohammad Riyyat Iman Mustaqim bin Mohammad Shahjohan berusaha untuk meningkatkan kemahiran dan pengalaman dalam sukan 9 Ball bukan sahaja di dalam negara malah juga di luar negara.
     
    Untuk mencapai hasrat tersebut, beliau sekali lagi mengambil peluang menyertai dalam PERI 9-Ball Terbuka di Da-Nang, Vietnam yang bermula esok hingga 4 Oktober, di mana perlawanan tersebut dijangka disertai oleh 256 peserta dari seluruh dunia.
     
    Ketika dihubungi kelmarin, beliau yang membawa nama negara ke perlawanan tersebut secara solo, berharap akan membawa pulang kejayaan sekali gus mengharumkan nama negara kerana perlawanan itu termasuk dalam tangga dunia.
     
    Di samping itu juga akan dapat menimba pengalaman dan membaiki teknik permainan memandangkan peserta-peserta perlawanan ini terdiri mereka yang profesional dalam sukan 9 Ball.
     
    “Walaupun ia bukan kali pertama menyertai perlawanan di luar negara, rata-rata pemain-pemain menunjukkan corak persembahan yang teliti dan kemas,” jelasnya.
     
    Beliau turut mengongsikan pandangan, dalam beberapa perlawanan yang pernah di sertai di luar negara, peserta dari Filipina, Amerika Syarikat dan juga Taiwan adalah peserta yang sering menunjukkan persembahan yang mantap dalam setiap perlawanan yang disertai.
     
    Menyentuh mengenai persiapan latihan untuk ke perlawanan itu, beliau telah menetapkan latihan selama empat jam sehari di samping menerima tunjuk acara daripada jurulatih.
     
    Untuk memantapkan lagi corak permainan, beliau akan menyertai mana-mana pertandingan yang diadakan di dalam negara.
     
    Mohammad Riyyat Iman Mustaqim menyertai perlawanan PERI 9 Ball Terbuka di Da-Nang, Vietnam. – GAMBAR SERAHAN MOHAMMAD RIYYAT IMAN MUSTAQIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda