Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet angkat berat kebangsaan berjaya raih pingat

    Oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Dua atlet angkat berat dari Persatuan Angkat Berat Kebangsaan Brunei Darussalam berjaya merangkul pingat dalam kategori masing-masing dalam Kejohanan Angkat Berat Piala Egat King’s dan Piala Egat Princess.

    Kejohanan berkenaan berlangsung di daerah Mueang, wilayah Phangnga, Thailand. Nina Juna yang bersaing dalam kategori B64kg wanita berjaya melengkapkan 81kg dalam acara Snatch dan 105kg untuk Clean and Jerk. Beliau berjaya meraih pingat perak dalam kedua-dua acara dan juga pingat perak dalam keputusan keseluruhan.

    Sementara itu Muhammad Kamit membawa pulang pingat gangsa dalam kategori B81kg dalam acara Snatch untuk 122kg. Dia terpaksa menyerah kalah dalam acara Clean and Jerk selepas mengalami kekejangan badan akibat kesan dehidrasi daripada gelombang haba.

    Kedua-dua atlet angkat berat berharap untuk menyertai kejohanan angkat berat kebangsaan Brunei pada Julai dan juga Sukan Asia di China yang dijangka berlangsung pada September tahun ini.

    Sementara itu Syuhaidah Ahman yang beraksi dalam kategori B49 berjaya mengangkat 69kg dalam acara Clean and Jerk tetapi gagal dalam acara Snatch. Dalam kategori B59, Amal Matahir berjaya mengangkat 48kg dalam acara Snatch dan 69kg untuk Clean and Jerk yang mencapai jumlah keseluruhan 117kg.

    Hadir bagi menyambut ketibaan atlet ialah Presiden, Harun bin Haji Ahmad dan Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Muhd Hadi Dinie bin Abdul Rahman.

    Pasukan angkat berat Brunei bergambar bersama pegawai Persatuan Angkat Berat Kebangsaan Brunei Darussalam selepas mendarat dari Thailand.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda