Oleh Salawati Haji Yahya
Sukan bina badan di negara ini sudah tidak asing lagi, ramai individu sudah mula berminat untuk menceburi sukan itu malah ada yang menjadikan sukan ini sebagai karier tapi ada juga yang hanya menjadikannya sebagai mengisi masa lapang sahaja.
Dengan sambutan yang semakin menggalakkan, penyertaan ahli-ahli yang dikenal pasti berpotensi telah didedahkan kepada pertandingan-pertandingan bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara untuk mengambil pengalaman daripada peserta negara-negara lain.
Untuk berjaya dalam sukan bina badan itu, ia memerlukan disiplin, semangat dan kesabaran yang tinggi yang perlu diberikan tumpuan dalam beberapa aspek untuk kekal sihat dalam sukan itu, di samping menjaga pengambilan permakanan, menjaga ketahanan mental dan selalu melakukan senaman fizikal terutamanya apabila hampir waktu untuk bertanding.
Di sebalik cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap ahli dalam Persatuan Bina Badan dan Kecergasan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, penulis berpeluang menemu bual dua ahli persatuan berkenaan untuk berkongsi kecekalan mereka dalam sukan itu hingga berjaya membawa pulang pingat untuk persatuan dan juga negara dalam pertandingan di luar negara baru-baru ini.
Meneruskan perjuangan
Walaupun hanya mampu mendapat kedudukan lima teratas dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Asia Tenggara ke-17 di Batam, Indonesia yang berlangsung 8 Jun hingga 12 Jun lalu, ia tidak mematahkan semangat beliau untuk terus memperbaiki kelemahan dan menjadikan penyertaan kali ini sebagai menimba pengalaman.
Awang Mohammad Zulkarnine bin Haji Ahmad yang merupakan seorang guru dan salah seorang peserta bina badan negara bagi kategori Athletic Physique Lelaki sehingga 167cm itu telah melibatkan diri dalam sukan bina badan sejak tahun 1996 dan telah mula bertanding sejak berusia 30an.
Ketika mengongsikan perjalanan penglibatan beliau dalam sukan itu, ia bermula apabila melihat rakan-rakan yang ketika itu sering melakukan latihan di gim dan sejak itu timbul minatnya untuk menceburi dalam sukan itu.
Melihat kegigihan beliau dalam sukan itu, presiden persatuan Awang Mohammad Rahemi bin Haji Abd Manaf telah memberi galakan dan dorongan untuk beliau menimba pengalaman bertanding di luar negara.
Beliau mula mendapatkan pengalaman bertanding di luar negara pada tahun 2022 di Thailand, manakala penyertaan dalam kejohanan di Batam itu merupakan pengalamannya yang kedua.
Selain mendapat pengalaman di luar negara, beliau sering menyertai kejohanan di dalam negara bermula pada tahun 2013 diikuti pada tahun 2020 dan 2021.
Semasa kejohanan di Batam baru-baru ini, jelasnya, walaupun sedikit kecewa tapi beliau tetap bersyukur kerana berpeluang untuk menyertai kejohanan tersebut.
Beliau berkata saingan utama dalam kategori yang disertainya itu adalah peserta dariThailand dan juga Kemboja.
Ketika mengulas lanjut mengenai kegagalan untuk mendapat tempat ketiga teratas, ia mungkin disebabkan atlet dari negara-negara yang menyertai dalam kejohanan itu dibimbing oleh jurulatih khusus, berbanding peserta negara yang hanya melakukan latihan bersama rakan-rakan sahaja.
Beliau turut mengongsikan persiapan sebelum pertandingan di mana beliau terpaksa menjaga disiplin pengambilan makanan dengan mengelakkan daripada mengambil makanan yang berminyak dan bergula.
Mengambil makanan yang mengandungi protein yang cukup seperti ayam, ikan dan sayuran hijau seperti brokoli, lobak merah dan juga jagung, dan setiap makanan yang diambil hendaklah mengikut sukatan kalori yang seimbang.
Selain menjaga permakanan bagi persiapan ke kejohanan itu, ketahanan mental juga perlu diambil perhatian, apatah lagi beliau merupakan seorang guru yang terpaksa memberikan tumpuan kepada pekerjaan harian.
Manakala dari segi fizikal pula, beliau terpaksa membahagikan masa untuk kerja dan latihan, serta mempunyai masa rehat yang mencukupi.
Meneruskan usaha
Senyuman kegembiraan tidak dapat digambarkan apabila berjaya mendapat tempat kedua dalam kejohanan di Batam baru-baru ini sekali gus dapat mengharumkan nama persatuan dan juga Negara Brunei Darussalam.
Perasaan gembira itu telah dikongsikan oleh Haji Ibrahim bin Haji Latif, atlet negara yang mewakili dalam kategori Bina Badan Lelaki berat 65 kilogram (kg).
Penyertaan pertama dalam sukan itu bermula dengan menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh World Bodybuilding And Physique Sports Federation (WBPF) dan The South East Asian Bodybuilding and Physique Sports Federation (SEABPF) selain empat kali menyertai dalam kejohanan antarabangsa.
Untuk kejohanan itu, beliau menjelaskan, negara yang menjadi saingan utama adalah Vietnam dan juga Indonesia.
Dengan kejayaan yang diperolehi di kejohanan itu, beliau turut berharap akan terus meningkatkan pencapaian yang lebih baik lagi di masa akan datang bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri tapi menjadi dorongan kepada peminat sukan bina badan di negara ini.
Ketika ditanya mengenai pandangan beliau mengenai perkembangan dan pencapaian sukan bina badan di negara ini, beliau menjelaskan, perkembangan terhadap sukan itu amat membanggakan terutama sekali penglibatan anak-anak muda yang sudah mula menceburi dalam sukan itu.