Atlet BJJ pamer kehebatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Seramai 21 atlet Brazilian Jiu Jitsu (BJJ) Negara Brunei Darussalam mengharumkan nama negara setelah merangkul sembilan pingat emas, enam pingat perak dan enam gangsa di Kejohanan BJJ & Nogi Antarabangsa 2019 di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan atlet negara diwakili oleh tiga buah kelab tempatan, 15 atlet dari Khalifa Mixed Martial Arts, lima dari The Refinery dan seorang dari kelab Wolfpack.

Kejohanan tahunan yang diadakan di Kompleks Sukan Likas itu merupakan sebahagian daripada Festival Kecergasan Sabah, yang mana kerap menyaksikan penyertaan atlet-atlet negara di kejohanan tersebut dan seperti tahun-tahun sebelumnya, prestasi kontinjen negara tidak pernah mengecewakan.

Fuzzzers, jurulatih bagi atlet wanita di Khalifa Mixed Martial Arts berkata, “Ia sesuatu yang menggembirakan untuk melihat hubungan baik antara atlet negara, yang saling menyokong antara satu sama lain meskipun berasal dari gim berbeza.

“Dan kali ia menampilkan jumlah terbesar atlet wanita negara bersaing, membuktikan kejayaan pergerakan JiujiteiraBN, dalam membina kesatuan BJJ dan memperkasa wanita melalui BJJ.”

Pengamal BJJ tempatan secara aktif bersaing di kejohanan-kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa beberapa tahun kebelakangan ini, meraih sejumlah pingat dan pengiktirafan buat Brunei dalam sukan tersebut.

Sementara itu empat orang wakil negara akan bersaing di Terbuka Asia IBJJF di Tokyo pada September nanti, yang mana kejohanan itu merupakan antara kejohanan BJJ yang paling berprestij di Asia.

Kejohanan itu sekali gus menjadi platform terbaik buat atlet negara untuk menguji kemahiran mereka di pentas lebih besar. Pada 12 dan 13 Oktober pula, atlet BJJ negara berpeluang untuk mengulangi kejayaan mereka pada tahun lepas apabila bakal bersaing pada kejohanan Copa De Borneo di Kota Kinabalu.

Airah Ash bergelut dengan lawannya dalam Kategori Terbuka Tali Pinggang Putih.
Pemenang pingat emas, Hafiiz Suni dari Khalifa MMA ketika bersaing dalam Divisyen Nogi (feather).