Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet Brunei berjaya kutip empat pingat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Dua pingat emas dan dua pingat gangsa berjaya diraih dalam Liga Olahraga Kinabalu RS ke-2 bagi tahun ini yang bermula pada 31 Ogos hingga 1 September di Kompleks Sukan Keningau, Sabah.

    Sehubungan itu, bagi meraikan dan menyambut kepulangan kontinjen negara terdiri daripada lapan orang atlet olahraga dari Sekolah Sukan, Kementerian Pendidikan itu telah berlangsung hari ini di Ruang Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Mengalu-alukan ketibaan kontinjen negara ialah Pemangku Penolong Pengarah, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah di Kementerian Pendidikan, Pengiran Ali Shafie bin Pengiran Haji Abas.

    Turut hadir, Pengetua Sekolah Sukan, Hajah Nor Aisah binti Haji Mohd Salleh; Timbalan Pengetua Sukan Sekolah Sukan, Haji Mohd Azrin bin Haji Aji; dan Timbalan Pengetua Akademik Sekolah Sukan, Norjalina binti Haji Jaafar.

    Dalam liga itu, pingat emas yang pertama diraih oleh Qurratul Ain @ Nur Aida binti Irwan melalui kategori Lompat Jauh Perempuan 18 Tahun Ke Bawah seterusnya memecahkan rekod peribadinya dengan jarak 4.45 meter (m).

    Manakala bagi acara berkumpulan, pingat emas diraih melalui kategori 4x100m Lari Berganti-ganti Perempuan 18 Tahun Ke Bawah.

    Kontinjen negara bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Peserta dalam kategori itu terdiri daripada Norjoleha binti Johari, Nurazizatul Shareena binti Ashari, Nur Afroz Dameea binti Mohd Zainal Areif dan Qurratul Ain @ Nur Aida binti Irwan.

    Sementara itu, Qurratul Ain @ Nur Aida juga telah meraih pingat gangsa melalui Kategori 200m Perempuan 15 Tahun Ke Bawah dengan rekod baharu 30.39 saat.

    Bagi Kategori 200m Perempuan 18 Tahun Ke Bawah, Norjoleha berjaya meraih pingat gangsa dengan rekod baru 30.38 saat.

    Secara keseluruhannya, sembilan rekod peribadi telah berjaya dipecahkan oleh enam orang pelajar dalam acara masing-masing.

    Seramai 2,424 peserta dari 70 pasukan daripada Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak beraksi dalam liga kali kedua ini yang dianjurkan oleh Kelab Olahraga RS Sabah dan salah satu kejohanan olahraga yang terbesar dan berprestij di negeri Sabah.

    Kontinjen Sekolah Sukan Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Jurulatih Sekolah Sukan, Mohd Yussof bin Yaakub.

    Sementara temu bual media dengan Qurratul Ain @ Nur Aida, 14, berjaya mengumpul tiga pingat di liga RS ke-2 yang mana pada RS ke-1, dia hanya mendapat satu pingat gangsa.

    Walaupun itu adalah penyertaan kali kedua, dengan pingat yang telah diperoleh itu adalah sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha meningkatkan dan memperbaiki teknik dan membanyakkan membuat latihan.

    Menyentuh mengenai persiapan untuk ke liga tersebut, katanya, tidak banyak latihan yang dibuat tapi berusaha membuat yang terbaik dan tidak menyangka akan mendapat pingat yang diimpikan oleh setiap peserta.

    Dia seterusnya berharap akan berpeluang memasuki ASEAN School Games pada 2025 di Brunei Darussalam selain berharap akan menang dalam Brunei Darussalam School Game (BDSG).

    Manakala temu bual dengan dua peserta Kategori 4x100m, Nurazizatul Shareena dan Nur Afroz Dameea, masing-masing merasa terharu atas kejayaan yang diraih dalam liga tersebut.

    Menurut Nurazizatul Shareena, pingat emas yang diperoleh dalam kategori 4x100m itu, adalah usaha dan kerjasama berpasukan yang diterapkan dalam diri setiap peserta.

    Dengan pingat yang diperoleh itu akan menjadi titik permulaan untuk terus berusaha meraih lebih banyak pingat pada masa akan datang sekali gus akan dapat mewakili negara dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda