Friday, January 24, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet Brunei cipta rekod baharu

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min, Yang Dipertua Persekutuan Olahraga Negara Brunei Darussalam (BDAF) bertemu dengan 29 atlet yang menyertai Kejohanan Tuaran kali ke-3 di Dewan Kuliah, Sekolah Sukan Brunei Darussalam kelmarin.

    YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min turut mengucapkan tahniah kepada mereka atas pencapaian kebangsaan dan pencapaian terbaik peribadi baharu yang dicipta semasa pertandingan selama dua hari yang berakhir pada 1 Oktober lalu di Sabah, Malaysia.

    Atlet olahraga Brunei telah berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara larian 100m dan 200m kategori Terbuka Lelaki, tiga pingat perak dalam acara larian 800m Terbuka Lelaki, 800m dan 1,500m kategori Terbuka Wanita; dan satu pingat gangsa bagi 5,000m kategori Wanita. Dalam kejohanan tersebut, Muhammad Noor Firdaus Ar-Rasyid bin Haji Mohd Idris telah memecahkan rekod kebangsaan bagi 100m Kategori Lelaki dengan masa 10.48s, manakala Siti Nur Hafizatul Shazana binti Hamiroldzam memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 5,000m kategori Wanita dengan masa 22:29.77s.

    Dalam pertemuan dengan atlet, YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min dan BDAF telah mengumumkan pengiktirafan kategori baharu rekod kebangsaan iaitu Rekod Belia Kebangsaan dan Remaja Kebangsaan (Bawah 18 tahun). Ia bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai dan bersaing dalam sukan olahraga di Negara Brunei Darussalam.

    Dengan pengiktirafan itu dan mengambil kira pencapaian olahraga atlet Brunei dahulu dan sekarang, rekod kebangsaan rasmi bagi kategori belia dan remaja akan diumumkan pada masa akan datang.

    Sejak 1 Ogos, BDAF diletakkan di bawah kendalian YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min bersama ahli-ahli persekutuan yang baharu. Lebih banyak rancangan untuk penambahbaikan dan inisiatif baharu bagi mengurus dan mempromosikan lagi sukan olahraga di Negara Brunei Darussalam sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan pada Januari depan.

    YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min bergambar ramai semasa sesi pertemuan dengan para atlet di Dewan Kuliah, Sekolah Sukan Brunei Darussalam baru-baru ini. – Gambar serahan BDAF
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda