Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Atlet Brunei melalui Persekutuan Angkat Berat Brunei Darussalam (PFBD), merekodkan pencapaian yang membanggakan apabila menghuni tiga tempat teratas dalam acara Angkat Berat Terbuka Sarawak 2022 di Aeon Mall, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.
Abdul Malik Al-mukkaramah bin Haji Mohd Yusof muncul juara dalam kategori Lelaki Bawah 74kg dengan catatan 95.25 mata dengan deadlift paling berat sebanyak 295kg.
Manakala, Khairunnadya binti Sannay muncul juara dalam kategori Wanita Bawah 57kg dengan catatan 77.77 mata.
Haziq Aidil bin Jeferi merangkul emas ketiga dalam kategori Junior Bawah 83kg.
Sementara itu, Abdul Haziq bin Abdul Hamid mendapat pingat perak dalam kategori Junior Bawah 59kg dan Awang Nur Adlan Al Ashraf bin Awang Azlan mendapat gangsa dalam kategori Lelaki Bawah 83kg.
Kelima-lima atlet datangnya dari Vertics Gym yang berpangkalan di Lumut, Kuala Belait.
Acara yang dibenarkan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IPF) ini menyaksikan seramai 60 peserta telah mengambil bahagian.