Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Dua orang atlet tempatan telah dipilih untuk mewakili negara ke Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Asia Tenggara ke-17 yang berlangsung dari 8 hingga 12 Jun di Batam, Indonesia.
Presiden Persatuan Bina Badan dan Kecergasan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Awang Mohamad Rahemi bin Haji Abdul Manaf ketika ditemu bual melalui telefon baru-baru ini antara lain mengongsikan mengenai persiapan peserta ke pertandingan dan perkembangan sukan bina badan di negara ini.
Beliau menyatakan bahawa Haji Ibrahim bin Haji Latif mewakili negara dalam kategori Bina Badan Lelaki berat 65kg, manakala Awang Mohammad Zulkarnine bin Haji Ahmad pula bertanding dalam kategori Athletic Physique Lelaki sehingga 167cm.
“Ini adalah penyertaan di luar negara buat kali kedua selepas menyertai pertandingan di Myanmar yang mana peserta negara telah membuktikan kebolehan mereka dengan memperolehi pingat emas dan juara keseluruhan (champion of champions),” tekannya.
Mengulas lanjut mengenai persiapan yang telah dilakukan, para peserta telah menjalani latihan selama tiga bulan, selain menjaga pemakanan dan juga rehat yang cukup.
Menyentuh mengenai jurulatih untuk peserta ke pertandingan ini, peserta hanya dibimbing oleh rakan-rakan peserta yang mempunyai pengalaman dalam pertandingan sukan ini.
Beliau berharap peserta negara akan pulang dengan membawa kejayaan sekali gus menyuntik semangat kepada penggiat sukan ini untuk mengambil peluang menyertai pertandingan bagi mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan lain, persatuan itu turut menyertai Mesyuarat Kongres Pilihan Raya Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Asia Tenggara ke-17 pada 9 Jun lalu di tempat yang sama di mana Awang Mohamad Rahemi telah dilantik sebagai naib presiden dan Awang Rudy bin Ahmad sebagai ahli lembaga Persekutuan Bina Badan Asia Tenggara.