Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet Brunei terus cemerlang

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh PWNBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Atlet wusyu Negara Brunei Darussalam terus melakar kejayaan dalam Kejohanan Wusyu Remaja Asia ke-10 apabila meraih satu pingat emas dan satu pingat perak dalam acara yang dipertandingkan dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

    Berkenan berangkat dan menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang dalam beberapa acara di kejohanan berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).

    Pingat emas dimenangi oleh Hosea Wong Zhang Yu yang berjaya mengutip 9.52 mata dalam Acara Taijiquan Remaja Lelaki, manakala pingat perak dimenangi oleh peserta Singapura, Xuan Tay Yu yang mengutip 9.46 mata dan pingat gangsa dimenangi oleh peserta Taiwan, Chen Hsing Shan yang mengutip 9.43 mata.

    Sementara itu, pingat perak Brunei dimenangi oleh Basma Lachkar yang berjaya mengutip 9.54 mata dalam Acara Taijiquan Remaja Perempuan apabila beliau tewas kepada peserta dari China, Chi Zailin yang berjaya mengutip 9.60 mata dan memenangi pingat emas dalam acara berkenaan.

    Pingat gangsa dalam acara itu dimenangi oleh peserta dari Taiwan, Lu Shao Yu yang berjaya mengutip 9.49 mata.

    Kontinjen wusyu Negara Brunei Darussalam memulakan kempen dalam kejohanan itu dengan baik di mana pada peringkat ini, kontinjen negara sudah berjaya mengutip tiga pingat emas dan satu pingat perak.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama para pemenang acara Taijiquan Remaja Perempuan. Peserta Brunei, Basma Lachkar berjaya mengutip pingat perak dalam acara berkenaan.
    Atlet wusyu Brunei, Hosea Wong (dua dari kanan) dan Basma Lachkar (dua dari kiri) menunjukkan pingat yang dimenangi mereka sambil bergambar bersama jurulatih pasukan Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda