BEIJING, 20 MEI – Perenang muda dari China berusia 12 tahun kini dinobatkan sebagai ‘sensasi’ selepas mencatat masa terpantas dalam sejarah acara tersebut pada usia ini, sekali gus membuka peluangnya untuk layak ke kejuaraan dunia.
Yu Zidi mencatat masa menakjubkan 2 minit 10.63 saat dalam acara 200 meter (m) kuak lentang wanita di Kejohanan Kebangsaan China, jauh melebihi piawaian yang diperlukan untuk melayakkan diri ke Singapura pada bulan Julai dan Ogos.
Persatuan Renang China memaklumkan kepada AFP bahawa mereka akan menunggu sehingga pertandingan kebangsaan yang berlangsung seminggu di Shenzhen tamat pada Sabtu sebelum mengesahkan senarai atlet yang akan bertanding di Singapura.
Renangan cemerlang Yu pada Ahad itu meraih tempat kedua di belakang atlet Olimpik Paris, Yu Yiting, di Shenzhen.
Badan pentadbir dunia, World Aquatics, melalui ciapan di media sosial dengan menulis “Berjaga-jaga sensasi berusia 12 tahun!”

Sekiranya atlet yang lain juga merupakan seorang pelajar itu bertanding dalam Sukan Olimpik Paris tahun lalu, masa yang dicatatkannya cukup untuk mara ke separuh akhir.
Yu, yang bakal menyambut ulang tahun ke-13 pada Oktober ini, berlatih di wilayah Hebei di utara China dan telah diiktiraf sebagai ‘bintang baharu’ oleh media negara selepas mula menarik perhatian pada tahun lalu.
“Pada tahun 2024, saya menyertai beberapa pertandingan, memperoleh keputusan yang baik dan ramai peminat renang mengenali saya,” katanya dalam temu bual dengan media China awal tahun ini.
“Saya semakin faham tentang kepentingan menjalani setiap sesi latihan dengan baik untuk mencapai keputusan cemerlang dan memiliki semangat yang kuat,” tambahnya.
Menurutnya lagi, “Waktu yang paling sukar mungkin ketika awda hampir dengan matlamat. Awda harus terus berusaha.” – AFP