Atlet e-sukan negara sudah bersedia

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Buat julung kalinya pada temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-31, Vietnam 2021 yang bermula pada 12 hingga 23 Mei 2022, Negara Brunei Darussalam menghantar penyertaan dalam acara e-sukan.

Seramai 12 orang kontinjen negara yang terdiri daripada jurulatih dan atlet e-sukan telah bertolak ke Hanoi, Vietnam pada pagi tadi.

Sebagai persediaan Sukan SEA kali ini, atlet-atlet dan pasukan negara telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan jurulatih-jurulatih kebangsaan negara dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi pengawalan COVID di negara ini.

Salah seorang atlet e-sukan negara, Mohd Firdausi Asyura bin Haji Muntil ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada pagi tadi mengongsikan bahawa pelbagai persiapan telah beliau dan rakan sepasukannya lakukan terutamanya sejak beberapa bulan kebelakangan ini selain turut mengorbankan masa mereka semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, bagi seorang lagi atlet e-sukan negara, Awang Abdul Qawiy bin Zaini semasa ditemui turut menjelaskan perasaan gembira dan teruja yang dirasakannya dan seluruh pasukan e-sukan apabila diberikan peluang untuk menyertai Sukan SEA pada kali ini.

Awang Abdul Qawiy turut mengongsikan, sebagai persiapan, mereka telah melakukan latihan yang cukup tanpa mengira waktu.

Di samping itu, mereka turut melakukan penganalisaan terhadap pasukan-pasukan dari luar negara yang pernah mewakili negara masing-masing dalam pertandingan berkenaan bagi menambah persediaan pasukan negara untuk menempuhi perlawanan di temasya Sukan SEA kali ini.

Awang Abdul Qawiy ketika ditemui oleh media sebelum berangkat meninggalkan negara kelmarin.