Friday, January 3, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet Malaysia ungguli kejohanan Muay Thai

    KUALA LUMPUR, 30 DIS – Empat atlet muay thai professional Malaysia mengungguli Kejohanan Muay Thai Rentap Night Pandan MADANI 2024 setelah meraih tiga dari lima tali pinggang dan satu piala yang ditawarkan.

    Pada aksi yang berlangsung di Kompleks Muhibbah Taman Nirwana semalam, tiga tali pinggang itu diraih Fuad Izuan, Muhammad Aiekal Asyraf Muhammad Jamil dan Putra Farez, masing-masing menerusi kategori 58, 59 dan 60 kilogram (kg).

    Sementara itu, seorang lagi petarung profesional dari Malaysia, Muhammad Iqbal Daniel Khairudin berjaya membawa pulang piala kategori 52kg selepas menumbangkan rakan senegara, Nur Muhammad Hayul.

    Selain Malaysia, petarung dari Iran dan Kemboja juga cemerlang selepas masing-masing membawa pulang satu tali pinggang dari kejohanan itu.

    Atlet Iran, Sahoo Gheisaran, berjaya menumbangkan lawannya dari Kemboja, Um Cham Voeum untuk membawa pulang tali pinggang kategori 70kg antarabangsa.

    Dalam pada itu, seorang lagi atlet Kemboja, Pong Pisith memastikan negaranya tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi kategori 60kg antarabangsa selepas menewaskan wakil Malaysia, Thinaharan.

    Kejohanan itu dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Kewangan Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda