Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet negara diseru jaga disiplin

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Kontinjen Negara Brunei Darussalam disaran untuk menghindari dan menjauhkan diri daripada mengambil barang-barang atau ubat-ubatan yang terlarang yang boleh mengakibatkan atlet disingkirkan atau digantung daripada pertandingan sehingga mencemarkan nama baik negara.

    Di samping itu, semua ahli kontinjen juga diseru supaya menjaga disiplin dan tingkah laku sepanjang berada di Sarawak, Malaysia.

    Seruan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21, 2024 yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Beliau turut menyeru semua persatuan sukan dan jurulatih kebangsaan untuk sentiasa memanfaatkan program latihan yang ada bagi mencungkil lebih banyak bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan sebagai pelapis atlet elit yang ada sekarang.

    “Atlet-atlet juga hendaklah sentiasa menunjukkan disiplin dan komitmen yang tinggi untuk menghadiri latihan demi meningkatkan lagi kemahiran dan daya saing masing-masing,” tambahnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan ucapan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN RAFI ROSLI
    Antara atlet yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN RAFI ROSLI

    Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyatakan SUKMA merupakan kejohanan beraneka sukan dan berkonsepkan Sukan Olimpik Mini yang melibatkan atlet-atlet remaja.

    Ia mempunyai peranan yang penting untuk mencungkil bakat atlet-atlet remaja di peringkat kebangsaan dan menjadi asas pemilihan atlet-atlet bagi mewakili negara ke peringkat antarabangsa khususnya Sukan Asia Tenggara (SEA Games) 2025.

    “Di samping itu, ia juga amat penting bagi mengukuhkan persahabatan dengan negara jiran,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Beliau seterusnya menyatakan temasya sukan itu dijangkakan akan disertai oleh kira-kira 15,000 orang atlet dan pegawai dari Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

    Dalam hubungan itu, sukan itu merupakan satu platform yang sangat baik bagi atlet remaja yang baru mula meningkat naik untuk mempamerkan prestasi dan mengetengahkan kemampuan mereka bersaing dan beraksi dalam peringkat serantau.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menyarankan para atlet yang terpilih untuk mewakili negara supaya menunjukkan prestasi yang terbaik dengan memberikan persaingan yang sihat kepada atlet-atlet yang turut bertanding nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda