Oleh Fadhil Yunus
SINGAPURA, 29 Mac – Pelari pecut Negara Brunei Darussalam, Muhammad Noor Firdaus Ar-Rasyid bin Haji Mohd Idris berjaya meraih pingat perak bagi acara 200m dalam Kejohanan 81st Singapore Open Track and Field Championships 2019 selepas mencatat masa 21.65 saat dalam acara yang berlangsung di Hab Sukan Singapura kelmarin.
Dalam acara tersebut, Reuben Rainer Lee Siong En mencatat masa 21.64 saat sementara Kei Takase meraih gangsa dengan catatan masa 21.66 saat.
“Beliau beraksi dengan baik pada peringkat saringan dan memecah rekod peribadinya dengan catatan masa 21.53 saat. Tetapi di peringkat akhir, dia mencatat masa 21.65 saat namun berjaya meraih pingat perak dan ia adalah satu bonus,” menurut Jurulatih, Azmize Abdul Rahman.
“Saya sangat gembira dengan prestasi hari ini dan saya harap ia berterusan untuk acara seterusnya,” tambahnya.
“Dengan keputusan itu, ia akan memberi galakan kepada rakan sepasukannya untuk melakukan yang terbaik dalam acara perseorangan dan berganti-ganti bagi 100m dan 4x100m,” jelas beliau.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam (BDAF), Mejar (B) Mohd Talip bin Haji Mohd Tahir berkata, “Mewakili BDAF, saya mengucapkan tahniah atas pencapaian Firdaus selepas meraih pingat perak dan usaha serta komitmennya semasa latihan.
“Secara peribadi, saya berterima kasih kepada Jurulatih Del Prado dan Azmize,” tambahnya.
Seorang lagi wakil negara, Abdul Aqil bin Abdul Kadir turut bersaing dalam acara 200m dan mencatat masa 23.58 saat dalam peringkat saringan.
