Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 1,355, atlet para Brunei telah membawa pulang pingat perak dalam Kejohanan Boling Para Terbuka Thailand 2022 yang diadakan di Blu-O Rhythm & Bowl, Siam Paragon di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Delegasi tersebut telah diketuai oleh Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor sebagai pengurus pasukan dan Pengiran Saiful Rizal bin Pengiran Haji Yunus sebagai ketua jurulatih.
Korea Selatan telah memenangi pingat emas dengan jatuhan pin sebanyak 1,671, manakala Taipei mendapat pingat gangsa dengan jatuhan 1,304 pin.
Pasukan lain yang turut bersaing datang dari Hong Kong, Jepun, Malaysia, Republik Czech dan tuan rumah, Thailand.
Acara yang disokong oleh Persatuan Boling Sepuluh Pin Thailand (TTBA), Persekutuan Boling Asia (ABF) dan Persekutuan Boling Para Dunia (WBPF) itu telah diadakan buat pertama kali di bawah Jelajah Boling Para Dunia sejak pandemik COVID melanda dunia.
