PARIS, 30 OGOS – Zakia Khudadadi mencipta sejarah kelmarin Paralimpik Paris dengan menjadi atlet pertama dari pasukan kem pelarian Paralimpik memenangi pingat.
Khudadadi memenangi gangsa dalam kategori 47kg wanita selepas menewaskan Ekinci Nurcihan dari Turki. Apabila loceng terakhir dibunyikan di Grand Palais di tengah Paris, Khudadadi melonjak kegembiraan, melemparkan topi keledar dan pelindung mulut ke udara.
“Ia adalah detik yang nyata, hati saya mula berdegup kencang apabila saya menyedari saya telah memenangi gangsa,” kata Khudadadi, suaranya bergetar dengan emosi. “Saya telah melalui begitu banyak cabaran untuk sampai ke sini. Pingat ini adalah untuk semua wanita Afghanistan dan semua pelarian di dunia. Saya berharap satu hari nanti akan ada keamanan di negara saya.”
Khudadadi, yang dilahirkan tanpa sebelah lengan, mula berlatih taekwondo secara rahsia pada usia 11 tahun di gimnasium tersembunyi di kampung halamannya di Herat, di barat Afghanistan.
Pada mulanya beliau dihalang daripada bertanding berikutan kebangkitan Taliban pada 2021, dia kemudiannya dipindahkan dari Afghanistan dan dibenarkan bertanding di Sukan Olimpik Tokyo untuk negaranya berikutan rayuan daripada masyarakat antarabangsa.
Selepas pertandingan itu, dia menetap di Paris dan kemudian ditawarkan peluang untuk bersaing dengan pasukan pelarian di Paralimpik Paris 2024.
“Pingat ini bermakna bagi saya, saya tidak akan lupa hari itu,” jelas Khudadadi. “Saya menang kerana sokongan hebat yang saya dapat daripada orang ramai.”
Suasana di Grand Palais begitu meriah apabila orang ramai Perancis bersorak untuknya seolah-olah dia adalah salah seorang daripada mereka sendiri. Sejak melarikan diri dari Afghanistan, Khudadadi telah menjalani latihan di INSEP, institut sukan kebangsaan Perancis, di Paris bersama jurulatih Perancisnya, Haby Niare, bekas juara dunia taekwondo.
“Zakia sememangya ajaib. Saya tidak tahu bagaimana lagi untuk menyatakannya,” kata Niare, berseri-seri dengan bangga. “Proses latihan adalah mencabar. Dia menghadapi banyak kecederaan dan dia terpaksa belajar banyak dalam beberapa tahun tetapi dia tidak pernah melupakan matlamatnya.”
Khudadadi menerima pingatnya daripada Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi pelarian, Filippo Grandi dan Andrew Parsons, presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa.
“Bagi Pasukan Pelarian Paralimpik, ia sangat istimewa, ia sangat penting,” kata Parsons. “Zakia hanya menunjukkan kepada dunia betapa gigihnya beliau. Ia adalah satu perjalanan yang luar biasa, ia adalah sesuatu yang kita semua patut pelajari.” – AP