Oleh Fadhil Yunus –
MANILA, 4 DIS – Kontinjen kebangsaan Brunei Darussalam terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam pencak silat selepas meraih pingat emas dalam acara individu seni wanita pada hari ketiga Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA ke-11 di Robinsons Mall hari ini.
Negara menerima kehadiran wira sukan baharu apabila bakat silat negara, Nur Afifah Shaheqah binti Masli, meraih pingat emas ketiga dalam pencak silat.
Bintang yang sedang meningkat naik itu mencatatkan markah 9.940 mata menunjukkan persembahan hebat, manakala lawannya, Sharmaine K Balabul dari Filipina ‘C’, memperoleh pingat perak dengan 9.355 mata.
Rakan sepasukan Afifah, Mohamad Hasan Mohamad Iskandar, meraih pingat perak dalam acara individu seni lelaki selepas tewas kepada Muhammad Ilham dari Indonesia dalam perlawanan akhir.
Bintang negara itu mencatatkan markah 9.920 mata, manakala lawannya yang berjaya meraih emas memperoleh 9.955 mata.
Selain itu, Brunei Darussalam telah meraih dua pingat emas dalam acara berpasukan lelaki dan wanita dalam pencak silat, serta pingat gangsa dalam acara olahraga dan karate.
Pasukan kata lelaki yang terdiri daripada Farhin Ildan, Muhd Iqbal, dan Muhd Syahmi Zaffran turut menambah koleksi pingat dengan meraih perak. Manakala Sa’adatul Hayat binti Dr Abdul Nasir meraih pingat gangsa dalam acara kata individu wanita.
Sementara itu, wakil-wakil badminton Brunei mencatatkan beberapa kejayaan di podium dengan empat pingat gangsa.
Pingat gangsa tersebut dimenangi oleh Mohd Talipuddin bin Ermadena dalam acara perseorangan lelaki; pasangan Muhd Izzuddin bin Ermadena dan Mohammad Haziq bin Roze dalam acara beregu lelaki; Nurul Asyiqin Mu’izzah binti Mohd Suhud dan Rachel Pong Xue Ting dalam acara beregu wanita; serta Mohammad Hakem Rahimiee bin Bakar dan Amal Norsyazawanah binti Airwan dalam acara beregu campuran.
Di Palawan State University, pasukan sepak takraw lelaki Brunei meraih pingat gangsa selepas tewas dalam separuh akhir kepada Indonesia.
Pasukan lelaki yang terdiri daripada Muhd Asllyi, Muhd Asyraf, Muhd Nuramirul Alam, Abdul Raziq Waqiuddin, dan Muhd Faiz Fikri tewas dengan keputusan 6-15, 9-15 tetapi telah dijamin mendapatkan pingat selepas melepasi peringkat kumpulan.
Jumlah pingat yang dimenangi oleh Brunei setakat ini adalah tiga emas, dua perak, dan lapan gangsa.