Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet penembak Olimpik tandatangan kontrak dengan agensi bakat

    SEOUL, 19 OGOS – Kim Ye-ji, pemenang pingat perak menembak Olimpik yang tular semasa Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris, menandatangani kontrak dengan agensi bakat tempatan, lapor agensi berita Yonhap.

    Plfil hari ini mengumumkan bahawa ia akan mewakili penembak berusia 31 tahun itu, yang memenangi pingat perak dalam acara pistol udara 10 meter wanita di temasya Sukan Olimpik Paris tetapi menjadi sensasi media sosial dengan prestasinya daripada pertandingan berbeza.

    “Dengan pengalaman kami dalam menguruskan pelakon dan penghibur, kami akan menyokong aktiviti Kim Ye-ji di dalam dan luar negara, memastikan beliau akan bersinar cerah di pelbagai pentas,” kata Plfil dalam satu kenyataan.

    Video Kim memecahkan rekod dunia 25 meter pistol dalam Kejuaraan Dunia di Baku pada Mei, tular di X selepas beliau memenangi pingat Olimpiknya.

    Dalam klip itu, Kim mendapat perhatian kerana kekal tenang dan tidak terganggu walaupun selepas mencipta rekod, malah pemilik X, Elon Musk, turut memberikan komen, “Dia patut berlakon dalam filem aksi. Tak perlu berlakon!” Plfil berkata mereka akan memanfaatkan populariti Kim melalui kandungan bentuk pendek dan meningkatkan lagi kebolehlihatannya di pasaran antarabangsa.

    Agensi itu menambah bahawa Kim mungkin akan memainkan peranan dalam filem atau siri TV untuk membantu mempromosikan sukan menembak.

    Semasa sidang media bersama pemenang pingat Korea Selatan di Paris pada 4 Ogos, Kim berkata dia tidak pernah memikirkan untuk muncul dalam mana-mana filem dan beliau hanya akan fokus pada kemahirannya sebagai penembak. – Bernama

    Kim Ye-ji dari Korea Selatan bertanding semasa penembakan akhir 10m pistol udara wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 di Chateauroux, Perancis, pada 28 Julai lalu. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda