Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Atlet Negara Brunei Darussalam, Adid Kadir, akan menjadi atlet Spartan pertama untuk mewakili negara di Kejohanan Dunia Spartan di North Lake Tahoe, California, Amerika Syarikat, yang akan diadakan pada hujung minggu ini.
Adid Kadir meraih penyertaannya di Kejohanan Dunia itu selepas berjaya mendapat kedudukan tiga terbaik, di mana beliau bukan hanya akan mewakili Brunei bahkan Asia Tenggara setelah bersaing dengan ribuan peserta Spartan di rantau ini.
Beliau, yang pakar dalam perlumbaan berhalangan, mengembangkan kerjayanya dalam bidang ini dengan beberapa penyertaan dalam perlumbaan Spartan di Asia Tenggara.
Dengan penglibatannya yang kerap dan usaha gigih di The Spartan SEA Regional Series, di mana beliau telah bersaing di tiga buah negara tahun ini iaitu di Filipina, Malaysia dan Singapura, menyaksikan beliau akhirnya meraih slot bagi menyertai ranking tertinggi dalam siri Spartan iaitu Kejohanan Dunia Spartan.
Perlumbaan Spartan adalah sukar dan kompetitif dengan halangan perlumbaan direka untuk menguji kecekalan, ketahanan dan kemahiran para peserta. Jarak perlumbaan adalah dalam lingkungan tiga batu hingga jarak maraton, yang termasuk beberapa laluan berhalangan di sepanjang perlumbaan.
Antara halangan yang disediakan termasuk merangkak di bawah dawai besi, mendaki dinding dan sebagainya.
Kejohanan Dunia Spartan merupakan kemuncak perlumbaan musim ini, dengan menarik ribuan atlet dari lebih 50 negara di seluruh dunia.
