Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Atlet powerlifting Brunei Darussalam dari Persekutuan Powerlifting Brunei Darussalam (PFBD) menikmati penampilan sulung yang memberangsangkan di persada antarabangsa selepas menggondol 18 pingat dan pelbagai rekod kebangsaan dalam Piala Asia Tenggara (SEA) di Trove, Johor Bahru baru-baru ini.
Enam atlet Brunei, dibimbing oleh Mateen Amirrudin menyumbang kepada kutipan lima pingat emas, tiga perak dan 10 gangsa.
Daripada enam pemenang pingat, Jackie Chan merupakan atlet paling menonjol setelah memenangi empat pingat emas dalam kategori U66 Masters I. Jumlah berat 490 kilogram menandakan rekod kebangsaan baharu yang merangkumi 185 kilogram dalam squat, 100 kilogram bagi bench dan 205 kilogram dalam deadlift. Dia juga mencapai rekod kebangsaan baharu dalam acara squat dan deadlift.
Rakan senegara, Ibnu Ayyub turut memenangi emas dalam kategori Terbuka U59 selepas mencipta rekod kebangsaan baharu dalam acara deadlift dengan berat 217.5 kilogram. Dia juga meraih dua pingat perak daripada markah keseluruhannya 510 kilogram dan dalam acara squat dengan 185 kilogram, serta gangsa di bench dengan 107.5 kilogram. Skor gabungan Ibnu dengan 510 kilogram juga merupakan rekod kebangsaan baharu.
